Enam Sekeluarga Hidup Mewah Hasil Jualan ‘Teh Cina’ Di Pulau Pinang | Georgetown: Polis Pulau Pinang berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah selepas menahan enam sekeluarga dan merampas syabu seberat 8,287 gram (g) dianggarkan bernilai RM298,332 dalam beberapa serbuan di sekitar negeri itu pada 18 Mei lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang Asisten Komisioner Mohd Shukairy Abd Sabhe berkata, bertindak hasil maklumat dan risikan sejak seminggu lepas, polis melancarkan operasi dan menahan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun di tepi jalan di Sungai Bakap, Nibong Tebal dekat sini pada 6 petang.

Beliau berkata polis merampas enam bungkusan ‘teh cina’ mengandungi 6,112g syabu bernilai RM223,596 bersama pemandu van kilang itu, yang juga juga dipercayai ketua sindiket pengedaran dadah berkenaan.

“Ekoran penahanan lelaki itu, polis menyerbu rumah keluarganya di Bukit Tengah, Bukit Mertajam dekat sini dan menahan ayah serta ibu lelaki itu yang berusia 62 dan 64, serta anak dan menantu pasangan warga emas itu yang berumur 36 dan 38 tahun,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Katanya dalam serbuan itu, polis merampas dua bungkusan juga ‘teh cina’ juga mengandungi syabu iaitu seberat 2,076g bernilai RM74,736 dan polis seterusnya menyerbu sebuah rumah di Taman Bagan, Butterworth sebelum menahan seorang lagi wanita berusia 38 tahun.

Mohd Shukairy berkata, tiada sebarang dadah dirampas bersama wanita itu, dan siasatan mendapati dia yang juga anggota keluarga kepada mereka yang ditahan itu merupakan seorang daripada ahli rangkaian sindiket berkenaan.

Katanya siasatan mendapati sindiket itu mendapatkan bekalan dadah daripada rangkaian mereka di luar negara dengan membungkusnya dalam bungkusan teh cina bagi mengelak dikesan pihak berkuasa sebelum mengedarnya untuk pasaran tempatan.

“Dua lelaki daripada yang ditahan itu bekerja sebagai pemandu van kilang, manakala yang lain tidak bekerja dan mereka yang merupakan ahli sebuah keluarga yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah sejak setahun lepas,” katanya.

Beliau berkata susulan penahanan itu, polis merampas empat kenderaan antaranya Toyota Wish dan BMW serta pelbagai barangan kemas yang kesemuanya bernilai RM119,204.

“Semua mereka direman sehingga 25 Mei ini, dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya1952,” katanya semua dadah dirampas itu boleh digunakan oleh 41,435 penagih.

SUMBER : Harian Metro

Share.

Leave A Reply