Gabungan BN-PH, Ini Respon Pimpinan DAP | DAP akan menyokong apa sahaja keputusan yang dibuat pimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) berhubung gabungan bersama Barisan Nasional (BN) bagi membentuk Kerajaan Pusat.

Bagaimanapun, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berkata, dia tidak boleh memberikan komen lanjut berhubung perkara berkenaan.

“Kita sebahagian daripada PH, jadi kalau ada gabungan, kita akan sokong.

“Saya tidak mahu cakap lebih daripada itu, ia adalah satu keputusan yang kita ambil bersama bukan sahaja dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) tetapi bersama kepimpinan tertinggi PH,” katanya ketika ditemui selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Guan Eng berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan gabungan yang dibentuk antara PH dan BN bagi membentuk Kerajaan Pusat.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai mesyuarat CEC yang berlangsung semalam di Kuala Lumpur.

“Perbincangan semalam janganlah tanya,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, semua keputusan berhubung pembentukan Kerajaan Pusat adalah tertakluk kepada keputusan parti.

“Saya tidak hadir mesyuarat CEC semalam, hari ini saya di sidang DUN, jadi saya tidak ada makluman terkini untuk mengulas,” katanya.

Sumber : Kosmo

Baca juga artikel ini :

Mesyuarat jemput MP BN, bila tiba PH pun ada | Ahli Parlimen BN Ayer Hitam, Datuk Wee Ka Siong menegaskan bahawa tiada sebarang perjumpaan di antara Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan wakil Pakatan Harapan (PH) di Hotel Seri Pacific, hari ini.

Sebelum itu katanya, beliau telah menerima notis melalui aplikasi WhatsApp daripada Setiausaha Kerja BN pada jam 11.23 malam semalam mengatakan perjumpaan itu hanya melibatkan Ahli-Ahli Parlimen BN sahaja.

“Saya terkilan apabila sebaik saja tiba di Seri Pacific Hotel, pemimpin-pemimpin PH turut hadir dalam perjumpaan ini. Saya tidak tahu sama ada ia telah diatur terlebih awal atau kebetulan.

“Perlu ditegaskan tiada sebarang perjumpaan di antara Ahli Parlimen BN dan wakil PH berlangsung ketika saya berada di Seri Pacific Hotel dari 10 pagi hingga 12 tengahari,” katanya.

Apa yang pasti katanya, beliau hanya menghadiri perjumpaan bersama Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan semua Ahli Parlimen BN sahaja.

“Pagi tadi saya menghadiri perjumpaan Pengerusi BN dengan semua Ahli Parlimen BN pada jam 10 pagi di Seri Pacific Hotel, Kuala Lumpur.

“Selepas perjumpaan dan sidang media bersurai, saya tidak terlibat dalam mana-mana perbincangan, pertemuan samada kebetulan atau tidak dengan pemimpin-pemimpin PH.

“Apa jua keputusan yang dibuat oleh BN perlu mendapat persetujuan dan mandat daripada Dewan Tertinggi BN,” katanya.

Sebelumnya, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata, seramai 26 Ahli Parlimen BN hadir dalam perjumpaan di Hotel Seri Pacific di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, empat orang tidak hadir, termasuk dua yang kurang sihat.

“Maklum balas perundingan akan dibawa ke Majlis Tertinggi BN,” katanya.

Datuk Seri Wee Ka Siong meluahkan kekecewaan berkenaan keputusan Barisan Nasional (BN) bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk Kerajaan Persekutuan dan Negeri (Perak) tanpa merujuk Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN).

Naib Pengerusi BN itu berkata, segala keputusan berhubung gabungan BN dan PH tersebut tidak pernah dirujuk kepada pimpinan tertinggi parti itu terlebih dahulu.

“Saya sebagai Presiden MCA dan Naib Pengerusi BN tidak pernah dirujuk atau dimaklumkan langsung.

“Entah dari mana keputusan itu dicapai, malah selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), mesyuarat Dewan Tertinggi BN masih belum lagi diadakan setakat waktu ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sumber : Kosmo 

Share.

Leave A Reply