Gaduh Ketika Mabuk, Dua Lelaki Bakar Kereta, Rosakkan Motosikal | Gara-gara perselisihan faham ketika mabuk mendorong dua lelaki bertindak membakar sebuah kereta dan merosakkan dua motosikal dalam kejadian di Sungai Kapar Indah, pagi tadi.

Kejadian disedari seorang lelaki berusia 43 tahun kira-kira pukul 5.48 pagi yang terdengar bunyi kuat di luar rumahnya.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, lelaki tersebut kemudiannya telah bergegas ke luar rumah dan melihat kereta jenis Proton Wira Aeroback miliknya terbakar dengan cermin kereta di bahagian hadapan, belakang dan sebelah kanan telah dirosakkan terlebih dahulu menggunakan sebatang kayu golf.

Katanya, turut dirosakkan suspek adalah dua buah motosikal milik anaknya.

“Hasil semakan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) rumah berkenaan mendapati dua lelaki telah bertindak memanjat pagar dan masuk ke halaman rumah mangsa.

“Suspek kemudiannya telah merosakkan dua motosikal menggunakan kayu golf dan membakar kereta menggunakan minyak petrol,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau memberitahu, ekoran kejadian tersebut mangsa telah kerugian dianggarkan RM5,500.

Tambah Vijaya, siasatan mendapati punca kejadian disebabkan perselisihan faham ketika mabuk dengan melemparkan perkataan kotor antara anak mangsa dan suspek yang masing-masing berusia 20 tahun.

“Usaha mengesan kedua-dua suspek sedang digiat dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 435/427 Kanun Keseksaan,” jelasnya.

Sumber : Kosmo

Share.

Leave A Reply