Gagal Jd PM Sebab Najib. Ini Jawapan Annuar Musa Kepada Anwar Ibrahim. | PETALING JAYA: Annuar Musa mendesak Anwar Ibrahim menghentikan segala cerita “dongeng” mengaitkan kegagalan beliau menjadi perdana menteri berpunca daripada Najib Razak.

Menteri komunikasi dan multimedia itu mendedahkan, kegagalan ketua pembangkang menjadi perdana menteri kerana tidak berjaya meyakinkan Yang di-Pertuan Agong mengenai jumlah akuan berkanun (SD) yang menyokong beliau menjadi perdana menteri.

Annuar berkata, dokumen dipersembahkan kepada Agong pada Oktober 2020 juga terbukti tidak mempunyai merit malah dinafikan Ahli Parlimen pembangkang sendiri.

“Saya harap Anwar hentikan cerita palsu ini. Usah cuba meletakkan kegagalan jadi perdana menteri kononnya kerana Najib. Itu percubaan memfitnah Najib,” kata Ahli Parlimen Ketereh itu di Facebook.

Pada 30 Jun, Anwar berkata Najib ada memberi surat SD untuk menyokong beliau menjadi perdana menteri namun dengan syarat kes mahkamah mensabitkan bekas perdana menteri itu “tidak diteruskan”.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, beliau bagaimanapun enggan menuruti kehendak Najib dan membayangkan ia sebagai punca dia gagal mendapat sokongan mencukupi untuk diperkenan menjadi perdana menteri menggantikan Dr Mahathir Mohamad.

Susulan keputusan tegas beliau, Anwar mendakwa Najib mengusulkan calon lain pada saat akhir dan menafikannya untuk menjadi perdana menteri menggantikan Muhyiddin Yassin.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, pencalonan Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri adalah permuafakatan Ahli Parlimen Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak dan Perikatan Nasional serta beberapa Ahli Parlimen bebas.

“Cerita kononnya Najib mencadangkan calon lain juga fitnah. Najib tidak banyak terlibat ketika itu. Ismail dikemukakan sebagai calon PM oleh permuafakatan Ahli-ahli Parlimen BN, GPS, PN dan beberapa Ahli Parlimen bebas. Kami ada merujuk dan berbincang dengan DSN (Najib).

“Kaedah ‘putar alam’ ini eloklah diberhentikan, dan terimalah hakikat Anwar belum pernah mendapat cukup sokongan Ahli Parlimen, walau ada pihak yang cuba-cuba untuk menyokong Anwar,” katanya.

Sumber : FMT

Share.

Leave A Reply