Seorang lelaki di Amerika Syarikat (AS) didakwa berhubung kematian enam individu yang mana mayat mereka ditemui pada Januari lalu, lapor akhbar Metro UK semalam.
Polis menemui swafoto yang dirakam tertuduh, Travis Lamar Birkley, 34, di ruang bawah tanah kediamannya di mana mayat mangsa ditemui.
Kemudian Birkley telah didakwa atas enam pertuduhan membunuh.
Keenam-enam mangsa itu ditemui dengan kesan tembakan pada 23 Januari lalu di sebuah rumah di Milwaukee, negeri Wisconsin.
Polis mengaitkan Birkley dalam kes berkenaan berdasarkan data telefon bimbitnya termasuk gambar swafoto itu.
Tiga daripada mayat itu ditemui di ruang bawah tanah kediaman berkenaan.
Pihak polis percaya bahawa mereka dibunuh tiga hari sebelum ditemui.
Menurut saluran televisyen WDJT-TV, gambar swafoto itu memaparkan Birkley memakai cermin mata mahal milik salah seorang mangsanya.
Tertuduh mengaku bahawa dia dan sepupu lelakinya bersubahat membunuh enam orang itu dalam satu rompakan dadah yang gagal, tambah WDJT-TV.
Kelongsong-kelongsong peluru yang ditemui di tempat kejadian dilaporkan daripada dua pistol berbeza.
Identiti suspek kedua masih belum didedahkan dan tiada tangkapan lain dibuat setakat ini.
Ikat jamin untuk Birkley ditetapkan sekitar AS$1 juta (RM4.4 juta).
Sumber: Kosmo