Gara-Gara Babi, 4 Kenderaan Terlibat Kemalangan | Tiga buah kereta dan sebuah motosikal terbabit kemalangan selepas mengelak dan melanggar seekor babi dalam kejadian berhampiran pusat beli belah Alamanda.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.47 pagi di Jalan Desa Pinggiran Putra menghala ke pusat beli belah itu, seorang penunggang motosikal cedera sebelum dikejarkan ke Hospital Putrajaya.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pemandu tiga kereta itu bagaimanapun tidak mengalami apa-apa kecederaan.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati, sebuah kereta jenis Honda City terlanggar bangkai seekor babi di lorong kanan jalan sebelum terbabas.
“Kereta dipandu seorang lelaki itu kemudian merempuh dua buah kereta jenis Toyota Yaris dan Honda BRV serta sebuah motosikal jenis Yamaha NVX yang turut berada di lorong yang sama.
“Sebelum itu, Toyota Yaris terlebih dahulu melanggar haiwan berkenaan sebelum terbabas manakala, pemandu Honda BRV dan penunggang motosikal turut berhenti di laluan sama bagi memberi bantuan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sumber : Kosmo
Baca Juga Artikel Menarik Ini :
2 Beradik Meninggal Dunia Selepas Dilanggar Oleh Lori Tangki Minyak. | KUANTAN: Kecuaian pemandu lori tangki minyak dipercayai punca dua beradik yang berasal dari Felda Lepar Hilir 1 di sini maut setelah kereta dinaiki mereka dilanggar kenderaan berat itu di Jalan Kuantan-Segamat berhampiran lampu isyarat Felda Lepar Hilir di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, Siti Mazurah Zulkifli, 30, yang merupakan seorang pramusaji dan Siti Nur Alia Saffiyah, 18, yang bekerja sebagai jurujual meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah dialami.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, siasatan awal mendapati, pemandu lori terbabit dikatakan datang dari arah Muadzam Shah, Rompin menuju ke stesen minyak Petron Gambang.
“Apabila sampai di tempat kejadian, tiba-tiba pemandu lori hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu melanggar kereta yang datang dari arah bertentangan.
“Akibat kemalangan tersebut, kedua mangsa dalam kereta berkenaan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Wan Mohd. Zahari juga berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku disebabkan kecuaian pemandu lori yang gagal mengawal kenderaan dipandu sehingga mengakibatkan kemalangan berlaku.
“Pemandu lori terbabit sudah ditahan bagi membantu siasatan. Keputusan ujian air kencing terhadap lelaki itu negatif dadah. Keterangan pemandu lori berkenaan sudah diambil dan lori dipandu akan di bawa ke Puspakom untuk pemeriksaan,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pukul 11.21 malam.
Beliau berkata, susulan maklumat diterima, lapan anggota bomba pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taman Tas dibantu BBP Indera Mahkota ke lokasi untuk operasi menyelamat mangsa kemalangan terlibat.
Sumber : UM