Gara-gara Berebut Harta RM1 Juta, Rugi RM5 juta | Kotej diubah suai menjadi kediaman menyebabkan pertikaian selama empat tahun oleh ahli keluarga berhubung pemilikannya, yang menyaksikan kos guaman mencecah 1 juta pound sterling (kira-kira RM5.5 juta).
Ia bermula dengan perceraian antara Daniel, 73, dan isterinya, Pamela Teasdale, 68, yang sebelum itu berkahwin selama 44 tahun.
Ibu dua anak itu mahu terus tinggal di Ladang Burne di Todwick, Yorkshire Selatan, untuk memulakan perniagaan, lapor media tempatan.
Walaupun begitu, kediaman di ladang berkenaan adalah harta pusaka keluarga Teasdale sejak tiga generasi dan bekas suami menawarkan pampasan kepada isterinya itu.
Apa yang menjadi masalah apabila sebuah bangsal di situ baru diubah suai menjadi kotej oleh anak mereka, Rebecca Carter, 45, dengan kos kira-kira 200,000 pound sterling (kira-kira RM1.097 juta).
Wanita itu pula tinggal di kotej berkenaan bersama suami serta anak perempuannya sehingga membawa kepada pertelingkahan terbabit.
Pertengkaran tercetus apabila pasangan Teasdale dan anak perempuan mereka bertengkar mengenai siapa yang boleh menuntut pemilikan sah ke atas kotej itu.
Carter berkata, dia membayar gadai janji terhadap kotej itu selama bertahun-tahun tetapi ibunya menegaskan, ia hanya bayaran sewaan.
Hakim Gordon Shelton berkata, ia tragedi tiada persetujuan baik dicapai dan salah satu litigasi paling dikesali pernah didengarinya.
Perbicaraan di mahkamah tinggi, selama sembilan hari, diikuti pendengaran di mahkamah rayuan, selama dua hari.
Ketiga-tiga ahli keluarga itu diwakili pasukan guaman yang membawa kepada kos guaman sebanyak 1,048,000 pound sterling (RM5.5 juta).
Hakim Shelton disokong Hakim Mahkamah Rayuan Justice Moor memutuskan ibu bapa menjanjikan rumah itu kepada anak perempuan mereka.
Bagaimanapun, mereka menolak permohonan Carter untuk menghentikan perniagaan ibunya yang didakwa akan mengganggu ketenteraman anaknya itu.
Sumber: Harian Metro
Artikel Lain
Lelaki Tergamak Bunuh Bapa Sendiri, Tak Puas Hati Pasal Harta
Lelaki Tergamak Bunuh Bapa Sendiri, Tak Puas Hati Pasal Harta | Di Jharkhand, India seorang lelaki dipercayai membunuh bapa kandungnya sendiri menggunakan senjata tajam berikutan berang dengan pembahagian harta pusaka milik keluarganya yang dikatakan tidak adil ketika diagihkan.
Memetik laporan India Today, mangsa dikenali sebagai Chunni Yadav berusia 70 tahun telah dikelar di bahagian leher menggunakan senjata tajam dari dapur rumah mereka di daerah Godda.
Menurut sumber, suspek merupakan anak sulung dipercayai kecewa dan marah dengan keputusan bapanya yang dikatakan berat sebelah dengan memberikan harta yang lebih banyak kepada adiknya dan dia (suspek) tidak memperoleh apa-apa.
Mangsa dikatakan hilang kawalan sebelum bertindak sedemikian rupa pada 31 Disember yang lalu.
Semasa suspek disoal siasat, dia menumpahkan kacang yang dimakan dari tangannya sejurus kain dengan kesan lumuran darah ditemui daripadanya sebelum mengaku membunuh bapa dia.
Suspek kemudian ditahan dan dihantar ke penjara untuk proses pendakwaan di mahkamah kelak.
Mengulas lebih lanjut, suspek dikenali sebagai Subodh menerusi soal siasat yang dijalankan menjelaskan rasa kecewa berikutan sebahagian besar tanah pusaka keluarganya diberikan kepada adiknya dan dia sempat menuntut hak sama rata namun, permintaan tersebut sama sekali tidak dilayan.
Kini, suspek telah pun berjaya ditangkap oleh pihak polis selepas 24 jam kes pembunuhan tersebut dan beberapa individu yang lain turut dipanggil untuk memberi keterangan.
Bagaimanapun, pihak polis sehingga kini masih belum berjaya menemui bukti penting yang boleh menyabitkan suspek sebagai pembunuh bapanya sendiri.
Sumber : Oh Bulan