Gara-Gara Lambat Masak Rendang, Muka Isteri Diludah Dan Ditampar | Saban hari, statistik penderaan domestik atau keganasan rumah tangga semakin meningkat kerana beberapa punca utama seperti pasangan terlibat dengan najis dadah, masalah mental dan sebagainya. Namun, hal sebaliknya berlaku apabila seorang isteri telah ditampar di pipi gara-gara lambat menyediakan juadah iaitu rendang ayam.

Gara-Gara Lambat Masak Rendang, Muka Isteri Diludah Dan Ditampar

Seorang lelaki berusia 67 tahun yang juga merupakan seorang pesara telah melakukan perbuatan tersebut terhadap isterinya yang berusia 66 tahun di rumah mereka di Jalan Pinang, Kampung Melayu di sini baru-baru ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, siasatan awal mendapati berlaku pertengkaran di antara suspek dan mangsa gara-gara mangsa terlambat memasak rendang ayam. Tambah beliau, sewaktu pertengkaran tersebut berlaku, mangsa telah ditampar di pipi dan pertengkaran tersebut telah berlaku di bilik tidur.

Kejadian menjadi semakin parah apabila suspek bertindak duduk di atas mangsa kemudian meludah muka mangsa sebelum mencekik leher mangsa. Namun, mangsa berjaya melawan sehingga berlaku pergelutan menyebabkan mereka berdua jatuh dari atas katil.

Insiden tersebut telah menyebabkan kecederaan kepada mangsa seperti sakit badan serta kesan lebam pada dagu sebelah kanan.

Difahamkan suspek turut mempunyai pelbagai penyakit kronik seperti sakit jantung, darah tinggi serta kencing manis sehingga memerlukan suntikan insulin empat kali sehari. Turut tinggal bersama suspek dan mangsa adalah ibu suspek berusia 86 tahun yang sedang lumpuh.

Pihak polis kini sedang menjalani siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan serta Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga.

Sumber: Sinar Harian

Share.

Leave A Reply