Gara-gara Mandi Kolam, Seorang Isteri Dipukul Suami Selepas Sebulan Mendirikan Rumah Tangga | Seorang lelaki berusia 37 tahun telah didakwa dan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Bharu selepas dia dilaporkan telah mencederakan isterinya selepas mereka dikatakan baru sahaja bernikah sebulan yang lalu.
Petuduh yang dikenali sebagai Mohd Hafizul Muhammad yang juga merupakan seorang peniaga didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya yang dikenali sebagai Hilwa Muhammad, 37, sejurus pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Majistret Kamarul Hasyime Rosli.
Kejadian berlaku selepas petuduh dikatakan memukul isterinya itu akibat berang akan tindakannya yang bermandi-manda di sebuah kolam berdekatan sebuah resort dan kejadian dilaporkan berlaku di rumah mereka iaitu di Kampung Huda, Kubang Kerian kira-kira jam 3.30 petang, baru-baru ini.
Tertuduh yang tidak mengaku bersalah atas pendakwaan tersebut dilaporkan turut berada di resort itu bersama isterinya namun punca sebenar kejadian masih dalam siasatan menurut laporan media tempatan.
Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan serta boleh dihukum di bawah seksyen yang sama iaitu dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan. Bagi kesalahan atas Seksyen 326A Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dipenjara dua kali ganda tempoh maksimum yang dikenakan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Pendakwa telah diwakili Timbalan Pendakwa Raya yang bertugas, Muhammad Shahril Ramli yang menyatakan untuk pihak mahkamah menawarkan jaminan yang tinggi iaitu sekurang-kurangnya RM 7,000 namun beserta syarat yang tertuduh tidak lagi menganggu mangsa serta saksi pendakwaan dalam perbicaraan tersebut.
Namun, tawaran tersebut segera dibidas peguam yang mewakili tertuduh dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) apabila meminta mahkamah untuk memberikan jaminan yang minimum kepada tertuduh.
Majistret Kamarul Hasyime Rosli memerintahkan agar membenarkan tertuduh dijamin sekurang-kurangnya RM 4,000 diwakili seorang penjamin dan tarikh sebutan semula kes telah ditetapkan pada 18 April bagi perbicaraan seterusnya.
Sumber: Malaysiakini