Gempar! Muhyiddin Bongkar Senarai Perbelanjaan Najib Guna Dana SRC. | PETALING JAYA: Pertengkaran antara dua bekas Perdana Menteri berterusan, dengan Muhyiddin Yassin menyenaraikan perbelanjaan Najib Razak yang didakwa menggunakan dana RM42 juta SRC International.

Gempar! Muhyiddin Bongkar Senarai Perbelanjaan Najib Guna Dana SRC.

Muhyiddin berkata, “satu sen pun” tidak masuk ke akaunnya ketika beliau menjadi Perdana Menteri berbanding Najib yang didapati bersalah atas tuduhan rasuah dalam perbicaraan SRC International.

“Najib berulang kali tuduh saya khianat. Tapi tak ada satu mahkamah pun menjatuhi hukuman bersalah ke atas saya.

“Bukan macam dia, berbilion masuk akaun sendiri,” katanya dalam Facebook.

Muhyiddin berkata, bukti penggunaan dana SRC, seperti disebut dalam mahkamah, jelas menunjukkan Najib tidak menggunakan wang itu untuk sedekah atau tanggungjawab sosial korporat (CSR), sebaliknya bagi tujuan peribadi dan politik.

“Ya, adalah juga duit yang diberi kepada anak-anak yatim. Tetapi, jumlahnya tak seberapa jika dibandingkan untuk kegunaan peribadi dan politik.”

Beliau merujuk laporan media daripada perbicaraan Najib di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2019 yang menyatakan lebih RM3 juta digunakan untuk membayar kad kredit Najib.

Muhyiddin turut menyenaraikan perbelanjaan lain oleh Najib yang menggunakan dana SRC International:

  • RM2.5 juta dibayar kepada sebuah firma guaman untuk kerja-kerja “political intelligence”
  • RM238,914 dibayar untuk kerja-kerja mempromosi Ah Jib Gor kepada masyarakat Cina
  • RM100,000 dibayar kepada seorang kontraktor untuk membina bilik stor kediaman peribadinya di Kuala Lumpur
  • RM56,500 dibayar kepada sebuah syarikat plumbing untuk kerja pemasangan tangki air di kediaman peribadinya di Kuala Lumpur
  • RM77,300 dibayar kepada seorang kontraktor untuk membaiki kediaman peribadinya di Pekan

Muhyiddin berkata, penggunaan wang itu tidak termasuk RM4 bilion dana Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) dipinjamkan kepada SRC yang didakwa tidak ditemui.

Katanya, kerajaan terpaksa membayar hutang SRC kepada KWAP kerana ia dijamin kerajaan ketika Najib menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Sebelum ini, Muhyiddin dilaporkan berkata, beliau dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri di bawah kerajaan pimpinan Najib pada 2015, selepas menyarankan siasatan telus ke atas 1MDB.

Najib kemudian berkata, Muhyiddin tidak dipecat atas sebab itu, sebaliknya kerana berkomplot dengan ahli politik pembangkang dan melanggar disiplin parti.

Muhyiddin turut membalas dengan berkata, “pemimpin Umno” cuba menggambarkan beliau sebagai pengkhianat dengan menubuhkan Bersatu dan bekerjasama dengan PKR serta DAP untuk menjatuhkan Umno.

Katanya, Najib adalah “pengkhianat sebenar” kerana membiarkan skandal 1MDB menjadi terlalu besar dan buruk sehingga menyebabkan kejatuhan Umno pada pilihan raya umum lalu.

Najib pula mendakwa Muhyiddin pernah menjadi pengkhianat kerana beliau menarik Bersatu keluar daripada kerajaan Pakatan Harapan pada 2020 yang menyebabkan ia tumbang.

Sumber: FMT

Share.

Leave A Reply