Seorang lelaki ditemui mati dalam keadaan kaki kirinya dirantai pada kerusi di sebuah apartmen di Jelutong di sini, semalam.
Mangsa, warga Indonesia berusia 33 tahun itu ditemui orang awam dalam keadaan berlumuran darah di kawasan parkir apartmen itu selepas dipercayai terjatuh dari tingkat lapan apartmen terbabit.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, berkata terdahulu pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian daripada orang awam pada jam 5.40 petang.
Katanya, siasatan mendapati mangsa bersama seorang lagi lelaki menyewa rumah berkenaan yang dijadikan inap desa dan mempunyai tiga bilik.
Jelasnya, didapati mangsa berusia 33 tahun mendaftar masuk ke rumah itu sejak 13 April lalu bersama seorang lagi lelaki tempatan berusia 52 tahun.
Ujarnya lagi, menurut saksi, dia membantu kedua-duanya yang dikatakan datang dari Melaka dengan menghantar makanan ke rumah berkenaan setiap hari pada jam 1 tengahari dan 5 petang.
Beliau mendakwa, saksi berkenaan sempat bertemu seorang daripada mereka bagi menghantar makanan pada jam 5 petang sebelum menerima maklumat mengenai kematian mangsa.
Soffian berkata, pemeriksaan dalam rumah berkenaan tidak menemukan sebarang kesan pergaduhan.
Berdasarkan penemuan pasport, mangsa datang dari Dumai, Indonesia menerusi jalan laut pada 23 Mac lalu, sebelum datang ke Pulau Pinang.
Katanya, polis masih menyiasat motif kejadian dan tujuan mereka datang ke negeri ini.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat.
Difahamkan, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut sehingga urusan bedah siasat selesai dan polis kini sedang giat mengesan lelaki yang menyewa rumah berkenaan bersama mangsa, bagi membantu siasatan,.
Sumber: Berita Harian