Guna Surat Palsu Untuk Rentas Negeri,15 Warga Myanmar Ditahan

| April 7, 2021 | 0 Comments

Guna Surat Palsu Untuk Rentas Negeri,15 Warga Myanmar Ditahan | Taktik beberapa orang warga Myanmar yang cuba mengelabui mata pihak polis  mengundang padah apabila taktik mereka itu berjaya dihidu sekaligus menyebabkan mereka ditahan. Mereka dikatakan melakukan hal sedemikian kerana ingin pulang ke negara asal mereka.

Gua Musang: Polis menahan 15 warganegara Myanmar kerana cuba merentas negeri tanpa kebenaran dan juga menggunakan surat kebenaran palsu dalam sekatan jalan raya (SJR) di Kampung Tanah Puteh, di sini pada isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, kesemua warga Myanmar termasuk dua wanita itu ditahan ketika menaiki sebuah bas ekspress yang sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Rantau Panjang.

“Warga asing terbabit dalam keadaan mencurigakan sebelum mereka diminta untuk menunjukkan surat kebenaran rentas negeri. Lima daripada mereka menunjukkan surat kebenaran palsu manakala 10 lagi tidak mempunyai surat kebenaran.

“Kesemua warga asing itu juga mempunyai dokumen perjalanan yang tamat tempoh dan dipercayai cuba pulang ke negara asal melalui sempadan di Rantau Panjang untuk merentas ke Thailand,”katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang untuk siasatan lanjut, di sini pada Khamis.

Beliau berkata, kesemua warga asing yang berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63, Akta 342 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Mengulas lanjut, Sik berkata, ini merupakan kes pertama membabitkan penahanan warga asing yang cuba merentas negeri menggunakan surat kebenaran palsu di daerah ini.

Justeru, katanya polis akan mempertingkatkan lagi pemeriksaan kenderaan yang melalui Jalan Kuala Lipis-Gua Musang dan Lojing-Gua Musang bagi mengesan individu yang merentas negeri tanpa surat kebenaran.

Sumber: Sinar Harian

Tags: , , , , ,

Category: JENAYAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *