Guru Rugi RM63,440 Selepas Terjerat Dengan Sindiket Love Scam | Meskipun banyak kes peni­puan sindiket Love Scam didedahkan pihak berkuasa kepada masyarakat, namun malangnya masih ramai lagi menjadi mang­sa.

Guru Rugi RM63,440 Selepas Terjerat Dengan Sindiket Love Scam

Alor Setar: Seorang guru wanita kerugian RM63,440 akibat terpedaya dengan Love Scam selepas berkenalan dengan seorang lelaki melalui aplikasi Instagram, sejak April lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Superintendan Elias Omar berkata, mangsa dari Sik dekat sini mula berkenalan dengan seorang lelaki dikenali sebagai Muhammed Zamzuree berasal United Kingdom.

“Mangsa yang telah bercerai seterusnya berhubung dengan suspek menggunakan aplikasi WhatsApp,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, suspek kemudian memaklumkan dia ada mengirim barang kepada mangsa iaitu beg tangan, kasut, jam tangan dan satu set perhiasan serta telefon bimbit kepada mangsa. Mangsa kemudian dihubungi individu yang mengaku sebagai `pegawai’ Kastam KLIA dan memaklumkan ada barangan yang dikirim suspek dan meminta mangsa membuat bayaran cukai bagi melepaskan barangan itu.

“Disebabkan percaya dengan apa yang diberitahu `pegawai’ itu, mangsa membuat pemindahan wang secara dalam talian ke dalam akaun bank yang diberikan suspek pada Mei lalu sebanyak tujuh kali transaksi berjumlah RM63,440,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Elias berkata, semua wang berkenaan adalah wang simpanannya sendiri.

“Mangsa mula menceritakan perkara sebenar kepada adiknya apabila mula menyedari dirinya ditipu dan membuat laporan polis di Kuala Nerang pada Isnin lalu,” katanya.

“Satu kertas siasatan dibuka dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Tipu),” katanya.

Sumber: Berita Harian

Share.

Leave A Reply