Guru Sekolah Memandu Maut, Kereta Dihempap Besi Kren

| August 17, 2020 | 0 Comments

Guru Sekolah Memandu Maut, Kereta Dihempap Besi Kren | Tenaga pengajar sekolah memandu maut, manakala ibunya parah selepas kereta Perodua Axia dinaiki mereka dihempap besi ‘winch’ daripada kren di Kilometer 91 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur dekat Maran.

Kejadian pada 9.45 malam semalam, menyebabkan Mohd Faizal Ismail, 38, meninggal dunia di lokasi dan ibunya, Fatimah Mat Hussain, 72, dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh untuk rawatan.

Ketua Jabatan Penguatkuasaan dan Siasatan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, ketika kejadian, mangsa memandu di belakang kren berkenaan dari Temerloh menghala ke Maran.

“Besi ‘winch’ dipercayai jatuh daripada kren yang bergerak itu sebelum menghempap bumbung dan cermin hadapan kenderaan mangsa.

“Pemandu kereta, Mohd Faizal meninggal dunia dan ibunya mengalami pendarahan di kepala, patah pergelangan tangan kiri dan dihantar ke hospital untuk rawatan,” katanya yang memberitahu pemandu kren dipercayai melarikan diri.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian atau pemilik kren supaya menghubungi balai terdekat untuk membantu siasatan.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 304 (A) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian kerana kecuaian.

Sumber : HMetro

Tags: , , ,

Category: KEMALANGAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *