Hadapi Masalah Teknikal, Beberapa Pesawat Direhatkan Beberapa pesawat telah direhatkan kerana menghadapi masalah teknikal dan akan menerima penyelenggaraan yang lebih teliti. Baca seterusnya.

KUALA LUMPUR – Pesawat yang menghadapi masalah teknikal telah diarah ‘direhatkan’ daripada perkhidmatan untuk penyelenggaraan yang lebih teliti.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, kementerian itu dan agensi di bawahnya akan terus memantau setiap perkhidmatan penerbangan untuk memastikan prosedur penyelenggaraan dan isu teknikal dipatuhi tanpa kompromi.

Menurutnya, pihak berkuasa juga telah menegur syarikat penerbangan yang terlibat untuk memastikan pematuhan peraturan teknikal, ekonomi dan keselamatan serta tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap pengendali yang gagal berbuat demikian.

“Arahan itu demi kepentingan keselamatan dan pematuhan teknikal kepada peraturan penerbangan awam serta keselesaan penumpang,” tegasnya dalam kenyataan di sini.

Beliau mengulas tentang pesawat milik Malaysia Airlines Berhad MH2710 bagi penerbangan dari Kuala Lumpur ke Sandakan, Sabah yang mengalami isu teknikal ketika enjin pesawat dihidupkan.

Malaysia Airlines yang mengesahkan berlaku masalah teknikal memaklumkan pesawat itu terpaksa kembali semula ke ruang menunggu (bay) selepas prosedur kali kedua untuk menghidupkan enjin gagal ketika melakukan ‘pushback’.

Pada masa sama insiden berkenaan seorang penumpang juga memerlukan bantuan perubatan kecemasan.

“Malaysia Airlines memohon maaf apabila pendingin hawa tidak dapat dihidupkan ketika proses baikpulih dilakukan menyebabkan persekitaran kabin menjadi panas.

Susulan insiden itu, semua penumpang dipindahkan ke pesawat lain yang berlepas dari Kuala Lumpur pada jam 1.37 tengah hari dan selamat tiba di Sandakan jam 4.30 petang.

Mengulas lanjut, Ka Siong mahu syarikat penerbangan memantau dengan lebih baik isu teknikal berkaitan perkhidmatan penerbangan dan menyampaikan maklumat kepada penumpang bagi mengurangkan kesulitan yang dihadapi.

Jelas beliau, pihaknya dan agensi berkaitan penerbangan, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) juga telah menerima dan menyiasat laporan penumpang di beberapa saluran termasuk media sosial yang memberi maklum balas mengenai pengalaman mereka menggunakan perkhidmatan penerbangan sejak beberapa hari lalu.

“Kerajaan bersimpati dengan nasib yang menimpa mereka dan berusaha untuk menyelesaikan masalah ini dengan syarikat penerbangan.

“Setelah melakukan rundingan dan siasatan, syarikat penerbangan terbabit telah diarahkan untuk segera menyelesaikan isu teknikal yang dialami oleh para penumpang,” katanya.

Ka Siong menambah, kebanyakan aduan yang dibuat adalah berkait dengan trafik penumpang yang lebih tinggi daripada biasa semasa musim perayaan sehinggakan syarikat penerbangan terpaksa menggunakan sepenuhnya pesawat mereka untuk memenuhi permintaan.

Tambahnya, kementerian meminta orang ramai untuk kekal tenang dan terus memberi maklum balas terperinci kepada syarikat penerbangan bagi menyelesaikan sebarang isu operasi yang berlaku.

“Setakat 10 Mei 2022, semua aduan berkaitan penjadualan semula dan kelewatan penerbangan telah dipulihkan,” tambahnya sambil mengingatkan adalah penting bagi syarikat penerbangan untuk menambahbaik saluran komunikasi di antara penumpang bagi memastikan mereka menerima maklumat berhubung status penerbangan mereka.

Sumber: MalaysiaGazette

Share.

Leave A Reply