Hajat Mahu Basikal Baru Sebelum Lemas

| December 12, 2020 | 0 Comments

Hajat Mahu Basikal Baru Sebelum Lemas | Langkawi: “Dia minta beli basikal baharu, tapi saya cuma sempat baiki yang lama untuk kegunaan sementara,” kata Cik Di Che Ani, 47, bapa kanak-kanak lelaki yang ditemui lemas di Sungai Kuala Temonyong di sini, semalam.

Menurutnya, permintaan terakhir Muhammad Alif Amin, 8, tidak sempat dipenuhi dan kini anak bongsunya dijemput Ilahi serta tidak kembali.

Mengimbas kejadian menimpa anak bongsu daripada lapan beradik itu, Cik Di berkata, Muhammad Alif Amin sudah beberapa kali ke sungai itu bersama abang kembar dan rakan mereka, namun tidak pernah mandi di situ.

“Kawasan itu agak bahaya. Pada musim kemarau sekali pun paras airnya agak dalam seolah-olah muara untuk pertemuan beberapa cabang sungai.

“Malah, jenazah anak saya pun ditemui oleh penduduk di dasar sungai yang dalam selepas beberapa kali melakukan selaman,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Cik Di berkata, Muhammad Alif Amin lemas di hadapan abang kembarnya, Muhammad Alif Iman yang ketika itu berada di tebing sungai.

“Jarak tempat kejadian dengan rumah kira-kira 500 meter dan selepas kejadian, abang kembarnya yang bergegas minta tolong di kedai berhampiran.

“Ketika kejadian saya berada di tempat kerja dan hanya tahu selepas dimaklumkan penduduk,” katanya yang juga pemandu jentera berat.

Jenazah Muhammad Alif Amin dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Ehsan Kampung Temonyong di sini, pada 10.15 pagi tadi.

Sumber : HMetro

Tags: , , , ,

Category: KEMALANGAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *