Hampir 7,500 Kes Keganasan Rumah Tangga Semasa PKP. | PETALING JAYA: Kes keganasan rumah tangga meningkat 42% kepada 7,468 kes tahun lalu berbanding 5,260 kes pada tahun sebelumnya, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun.

Hampir 7,500 Kes Keganasan Rumah Tangga Semasa PKP.

Beliau berkata, perkara itu didorong perubahan norma baharu kehidupan akibat pandemik Covid-19 yang membataskan pergerakan serta aktiviti sosial dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya, perintah kawalan pergerakan (PKP) memberi impak bukan sahaja kepada tingkah laku seseorang, bahkan emosi dan kesihatan mental mereka.

“Turut mencatatkan peningkatan adalah kes jenayah seksual yang merekodkan 3,271 kes tahun lalu berbanding 3,177 kes pada 2020.

“Melihat kepada peningkatan itu, kementerian menubuhkan Skuad Wanita Anti Jenayah (Waja) yang berperanan sebagai ‘first responder’ dan pendengar dalam menyantuni dan membantu komuniti mengelakkan perkara lebih buruk.

“Justeru, kementerian menyeru lebih ramai anggota masyarakat pelbagai latar belakang bersama-sama menyemarakkan program Skuad Waja agar masyarakat prihatin dapat dibina selaras semangat Keluarga Malaysia,” katanya dipetik Utusan Malaysia dalam pelancaran skuad itu di Johor Bahru, hari ini.

Ucapan Rina dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementeriannya, Mohd Yusri Mohd Yusoff.

Semalam, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Siti Zailah Mohd Yusoff, dikecam beberapa Ahli Parlimen pembangkang kerana menyarankan suami menggunakan “sentuhan fizikal yang lembut tetapi tegas” untuk menegur isteri.

“Dalam kita nak menegur isteri seperti tidak tutup aurat atau melakukan perkara tak suka, maka suami beritahu dengan cara baik.

“Maka, dalam Islam membolehkan seorang suami untuk memberi satu tekanan sedikit pada isteri dengan pisahkan tempat tidur selama tiga hari supaya dia terasa bagaimana suami sangat tak suka perbuatannya.

“Sekiranya, nasihat tak dengar dan pisahkan tempat tidur juga tidak berubah, maka boleh memukul dengan cara sentuhan fizikal lembut yang mendidik dengan penuh kasih sayang yang tidak menyakitkan, tetapi menunjukkan ketegasan,” kata Siti Zailah dalam klip video selama dua minit.

Susulan itu, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar menyifatkan“nasihat” itu merugikan wanita dalam realiti dan keperluan semasa, manakala Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh meminta Siti Zailah mendemonstrasi cara lelaki menggunakan “sentuhan fizikal lembut tapi tegas” untuk menegur isteri.

Sumber: FMT

Share.

Leave A Reply