Hannah Cabar PM, Buktikan Keluarga Malaysia Dengan Akta Ini. | KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dicabar membentangkan Akta Hubungan Kaum, sekiranya serius melaksanakan gagasan Keluarga Malaysia.

Hannah Cabar PM, Buktikan Keluarga Malaysia.

Hannah Yeoh (PH- Segambut), berkata beliau sangsi dengan keupayaan Ismail menyatupadukan semua kaum di negara ini, sambil merujuk kepada pembentangan bajet sebagai contoh.

“Bajet 2022 adalah berdasarkan kaum, dan ia tidak selaras dengan pendekatan Perdana Menteri menerusi Keluarga Malaysia,” katanya dalam perbahasan Akta Perbekalan 2022.

“Krisis Covid-19 menjejaskan semua kaum. Ia sepatutnya menjadi bajet pemulihan dan bersifat inklusif.”

Hannah turut memberitahu Dewan Rakyat bahawa beliau ada membaca laman Wikipedia yang mengaitkan Ismail dengan enam kontroversi, yang kebanyakan terkait isu perkauman. Antaranya, gesaan memboikot perniagaan milik orang Cina, mencadangkan Low Yat 2 bagi peniaga Melayu sahaja, penamatan biasiswa Mara di Universiti Taylor, dan menjamah telur penyu.

“Banyak Ahli Parlimen pembangkang membantah kerana menyifatkan bajet ini sebagai ‘tidak adil’. Ini memaparkan identiti sebenar dirinya. Tiada sebarang penjenamaan mampu membantu produk yang buruk,” katanya.

Katanya, beliau skeptikal susulan pengumuman Ismail menerusi slogan Keluarga Malaysia sejurus dilantik sebagai Perdana Menteri.

Bagaimanapun, Hannah mengakui manusia boleh berubah kepada lebih baik.

Susulan itu, beliau berharap Ismail menyahut cabarannya dan membentangkan Akta Hubungan Kaum, “sekiranya beliau serius melaksanakan Keluarga Malaysia”.

Sejak berdekad, banyak badan bukan kerajaan (NGO) mahu akta seumpama itu dibentangkan, menyerupai undang-undang di United Kingdom yang mengasaskan idea satu-satunya cara mencapai hubungan antara kaum baik adalah menekankan semua individu, majikan dan badan awam mempunyai tanggungjawab mempromosikan hubungan antara kaum.

Akta berkenaan meliputi secara meluas menolak situasi anti-diskriminasi dalam sektor pekerjaan, perumahan, penyediaan barang, fasiliti dan perkhidmatan bagi masyarakat awam.

Sumber: FMT

Share.

Leave A Reply