Hanya Kerana Najis Burung, Seorang Wanita Cedera Terkena Sabit | Hanya kerana air najis burung merpati memasuki kawasan rumahnya seorang lelaki bertindak memarahi jirannya menyebabkan berlaku pertengkaran di antara mereka sehingga anak jiran terbabit mengalami kecederaan selepas dilibas dengan sabit olehnya.
Bukit Mertajam: Seorang wanita mengalami kecederaan selepas terkena libasan sabit ketika cuba untuk meleraikan pergaduhan di antara bapanya dan juga jiran mereka dalam kejadian di Taman Permatang Tinggi Indah, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian pada jam 4.10 petang, wanita yang berusia 27 tahun itu melihat berlakunya pertengkaran mulut antara bapanya yang berusia 52 tahun dan jiran lelaki berusia 42 tahun di hadapan laman rumah mereka.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata ketika itu lelaki terbabit memegang sabit dan mengacukannya ke arah bapa wanita berkenaan.
“Bimbang akan keselamatan bapanya, mangsa cuba menghalang jirannya itu namun dia pula yang cedera pada dahi sebelah kiri akibat terkena sabit berkenaan.
“Suspek kemudian melarikan diri dan wanita yang berlumuran darah itu mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta di Butterworth,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, polis yang dimaklumkan mengenai kejadian itu bergegas ke lokasi untuk melakukan siasatan.
“Siasatan awal mendapati, punca pergaduhan disebabkan berlaku salah faham hingga berlaku pertengkaran mulut di antara jiran yang tinggal bersebelahan.
“Ini kerana jiran (suspek) tidak berpuas hati dan memarahi bapa wanita itu kerana air basuhan najis burung merpati didapati memasuki kawasan rumahnya,” katanya.
Shafee berkata, polis telah merampas sebilah suspek dan sedang mengesan suspek yang melarikan diri dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Sumber: Berita Harian