“Harga Sayur Naik Hingga 100 Peratus, Dijangka Bersifat Sementara”- Ujar KPDNHEP P. Pinang| Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang mengesan kenaikan harga sayuran sehingga seratus peratus pada minggu kelima November.
Menurut Pengarahnya, Mohd. Ridzuan Ab. Ghapar, antara sayuran yang dikesan mengalami kenaikan adalah kacang buncis, kailan, sawi dan terung bulat .
Bagaimanapun beliau menyifatkan bahawa kenaikan harga tersebut dijangka bersifat sementara .
Jelasnya, kenaikan dipengaruhi beberapa faktor antaranya faktor iklim, masalah banjir di Cameron Highlands, dan peningkatan kos bahan pertanian.
Berdasarkan julatnya, beliau menyatakan untuk perhati beberapa kenaikan telah dikesan iaitu sehingga paling tinggi 100 peratus, dan dari minggu ke minggu berkemungkinan harga akan berubah, bergantung kepada bekalan, katanya lagi.
Mohd Ridzuan bagaimanapun menyatakan bahawa, terdapat juga harga sayuran mengalami penurunan harga antaranya adalah tomato (43 peratus), brokoli (27.7 peratus) dan limau kasturi (31.5 peratus).
Dalam pada itu, KPDNHEP Pulau Pinang juga kata Mohd Ridzuan sudah melakukan libat urus bersama Kementerian Pertanian bagi mengenalpasti punca sebenar kenaikan harga sayuran di negeri ini.
Sementara itu, Mohd Ridzuan berkata, KPDNHEP turut melaksanakan Ops Menu bermula 6 November sehingga 31 Disember depan bagi menangani isu manipulasi harga oleh pengusaha restoran dan kedai makan.
Sumber: Astro Awani