Harimau Mengganas Di Felda Kerteh | Persoalan kematian sebanyak 240 ekor lembu sejak dua tahun yang lalu kini terjawab. Dipercayai bahawa kesemua lembu milik penternak di sekitar Felda Kerteh itu telah mati disebabkan oleh ibu harimau yang mengajar anak-anaknya memburu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Dr Azman Ibrahim, berkata keadaan itu dipercayai berlaku berdasarkan cakaran haiwan liar pada bangkai lembu yang ditemui.
Sebahagian besar lembu yang ditemui mati, terdapat banyak kesan cakaran di bahagian kepala, badan dan belakang dan harimau terbabit sebaliknya tidak memakan daging lembu yang dibunuh. Kamera infa merah yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) baru-baru ini, berhasil merakam seekor ibu harimau bersama empat ekor anaknya yang berusia sekitar dua tahun.
Berdasarkan rakaman yang diperolehi, mereka percaya bahawa sang ibu hanya mengajarkan cara untuk memburu kepada anknya. Buat masa ini tiada lagi laporan mengenai peneroka yang diserang oleh haiwan liar itu.
Dr Azman berkata, kawasan Felda Kerteh 4 di sini mempunyai kira-kira 1,000 ekor lembu yang diusahakan oleh 60 penternak. Lembu yang diternak secara Integrasi dalam ladang itu menarik kunjungan ‘Pak Belang’ untuk masuk ke kawasan itu.
Kawasan ternakan itu terletak berdekatan dengan kawasan hutan dan mereka percaya terdapat berbelas ekor harimau dalam hutan itu. Kesan serangan harimau itu menyebabkan penternak di situ mengalami kerugian yang besar.
Tambah beliau lagi, beliau bersama PERHILITAN serta beberapa agensi kerajaan lain sudah mengadakan perjumpaan dengan penternak bagi mencari tindakan menyelesaikan masalah itu. Unit khas dari PERHILITAN telah mengambil langkah memantau kawasan ternakan 24 jam termasuk memasang kamera dan memasang perangkap.
Berdasarkan hasil penemuan bersama penternak terbabit, pihaknya telah mengambil keputusan mengehadkan kemasukan penduduk ke kawasan itu. Peneroka, pekerja ladang termasuk penternak turut dihadkan masuk ke kawasan itu hingga jam 6 petang.
Masyarakat luar juga dinasihatkan supaya tidak pergi berkelah ke kawasan air terjun yang terletak berhampiran dengan kawasan itu. Pihaknya berharap semua penternak supaya dapat mengurung ternakan mereka sebelum waktu senja.
perasi khas PERHILITAN akan diteruskan di kawasan itu dengan matlamat untuk menangkap dan memindahkan harimau itu demi keselamatan warga Felda, penternak termasuk harimau itu sendiri. Kerajaan negeri juga telah bersetuju untuk membantu penternak yang kerugian melalui Tabung Bencana Pertanian.
Sumber: Berita Harian