Hina Wanita Dan Berkelakuan Rasis, Seorang Lelaki Ditahan | IPOH – Seorang lelaki ditahan pada Isnin selepas rakaman video berkelakuan aib dan mengeluarkan perkataan kesat tersebar di media sosial.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, tangkapan dibuat susulan laporan polis yang diterima pada 14 Mei mengenai kejadian yang berlaku di sebuah restoran di Falim di sini.

Menurutnya, suspek merupakan warga tempatan berusia 42 tahun berjaya ditahan kira-kira jam 10.30 malam pada Isnin di Ampang Baru di sini.

“Ujian saringan awal air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis ganja. Pihak polis sedang melengkapkan siasatan kes ini dan akan merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk pertuduhan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 iaitu berkelakuan aib dan dengan tertangkapnya suspek itu, maka kes telah pun diselesaikan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, Yahaya menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai video tersebut sehingga menjejaskan siasatan polis mahupun mendatangkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

Menerusi rakaman video berdurasi 1 minit 18 saat yang dikongsi melalui Twitter itu, seorang lelaki dilihat mengeluarkan kata-kata kesat dan memainkan sentimen perkauman terhadap seorang wanita di dalam sebuah restoran.

Sumber: SH

 

ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA

Seorang Lelaki Disyaki Hina Cara Salam Umat Islam Direman Empat Hari

Seorang Lelaki Disyaki Hina Cara Salam Umat Islam Direman Empat Hari | Seorang lelaki disyaki menghina Islam dengan mempersenda ucapan salam menerusi media sosial direman polis selama empat hari bermula, kelmarin.

Setiausaha Polis Negara, Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin berkata, ia susulan penahanan suspek yang merupakan lelaki tempatan berusia 40 tahun dalam serbuan di Wangsa Maju, di sini semalam.

Katanya, dalam kejadian itu, polis turut merampas dua buah telefon bimbit dan tiga sim kad milik suspek.

“Siasatan sedang dijalankan unit siasatan jenayah terkelas, bahagian pendakwaan/undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman di bawah seksyen 298A Kanun Keseksaan.

“Permohonan reman terhadap suspek di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dibenarkan selama empat hari bermula 10 hingga 13 Mei,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noorsiah berkata, kes turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Dalam pada itu, kata Noorsiah, sebanyak 18 kertas siasatan telah dibuka sejak task force diwujudkan bagi menyiasat isu perkauman, agama dan Institusi Diraja (3R).

“Daripada jumlah itu, seramai 12 orang telah ditahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” jelasnya.

Sumber : Kosmo

Share.

Leave A Reply