Dua beranak maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 41, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak hala timur, dekat sini, awal pagi tadi.

Ibu, Anak Maut Nahas Tiga Kenderaan

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, berkata kemalangan pada jam 1.30 pagi itu membabitkan tiga kenderaan iaitu kereta Honda, Proton dan sebuah treler.

Jelasnya, hasil siasatan dilakukan mendapati kereta Honda dipandu lelaki berusia 58 tahun bersama tiga penumpang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Terengganu sebelum kenderaan itu dipercayai hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang sebuah treler dipandu lelaki berusia 31 tahun yang berada di lorong kiri.

Katanya dalam satu kenyataan, kereta Honda itu kemudian berpusing dan masuk ke lorong kanan sebelum dilanggar sebuah kereta Proton dipandu seorang lelaki berusia 18 tahun yang tidak sempat mengelak.

Zaiham berkata, kejadian itu mengakibatkan dua penumpang kereta Honda masing-masing ibu dan anak perempuannya berusia 52 dan 28 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat parah di kepala.

Ujarnya, beberapa mangsa lain yang mengalami kecederaan pula dibawa ke Hospital Bentong untuk menerima rawatan.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Beliau memohon orang ramai yang menyaksikan kejadian itu tampil bagi membantu siasatan.

Katanya, pengguna jalan raya dinasihatkan sentiasa memandu berhati-hati dan berhemah, selain memastikan kenderaan dipandu diselenggara dengan baik.

Sumber: Berita Harian

Share.

Leave A Reply