Ibu Bapa Perlu Pantau Media Sosial Anak, Elak Terjerat Umpan Pedofilia | Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyedari media sosial boleh menjadi ‘lubuk’ golongan pedofilia untuk melampiaskan ketagihan seksual mereka terhadap kanak-kanak.

Timbalan Ketua Pengarah Strategik JKM, Rosmahwati Ishak, berkata perkara itu boleh berlaku apabila wujud pendedahan kepada teknologi dan internet yang tidak terkawal oleh kanak-kanak.

Beliau menjelaskan, pedofilia bukan sahaja boleh mencari kanak-kanak untuk eksploitasi seks melalui media sosial, malah mengenali sasaran mereka melalui Facebook (FB), Instagram dan Twitter atau aplikasi sembang, WhatsApp dan WeChat.

“Impak internet serta media sosial dalam eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak oleh pedofilia amat meluas sehingga merangkumi ramai mangsa pada satu-satu masa melalui aktiviti pengantunan secara maya atau cyber grooming.

“Exploitasi seks boleh berlaku dalam talian atau fizikal. Aktiviti dalam talian ialah memaparkan gambar lucah kanak-kanak dan melalui cyber grooming, pemangsa boleh mengeksploitasi kanak-kanak secara fizikal,” katanya kepada BH.

Menyedari bahaya berkenaan, beliau berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) membentuk Jawatankuasa Bersepadu Pengurusan Isu-isu Sosial Kanak-kanak di Media Sosial, selaras Akta Kanak-Kanak 2001 dan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC).

Katanya, inisiatif berkenaan menggembleng tenaga pakar daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, pertubuhan bukan kerajaan, ahli akademik dan aktivis masyarakat dalam memastikan keselamatan kanak-kanak di media sosial terpelihara.

Rosmahwati menjelaskan, JKM dan KPWKM juga menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak bagi menambah baik pelaksanaan kempen dan advokasi berkaitan isu berkenaan secara berterusan.

“Kempen keselamatan kanak-kanak di media sosial dilancarkan dengan memperkenalkan lambang keselamatan kanak-kanak dalam talian.

“Dalam hal ini, KPWKM bersetuju dan memilih ikon atau simbol ‘kaktus’ yang melambangkan ketahanan dan kekuatan.

“Kepelbagaian spesies kaktus juga menunjukkan bahawa setiap kanak-kanak itu unik dan mempunyai identiti tersendiri,” katanya sambil menambah, kerjasama pelbagai agensi itu turut membabitkan aspek meningkatkan program berbentuk literasi undang-undang berkaitan keselamatan dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Ia, katanya, termasuk kempen membanteras jenayah seksual kanak-kanak di media sosial, program advokasi dan pencegahan oleh JKM serta Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), termasuk melalui program kesedaran dikenali SAHABAT BIJAK dan Program Pencegahan Jenayah SEKATA (Keselamatan Keluarga).

“Pendekatan pemeliharaan berasaskan keluarga bukan sahaja dapat memberi perlindungan kepada kanak-kanak, tetapi juga mampu mewujudkan hubungan kekeluargaan yang positif dari aspek fizikal, emosi, psikologi, kognitif, sosial dan kerohanian.

“Ini bermaksud proses pemulihan kanak-kanak secara menyeluruh dapat direalisasikan dalam persekitaran penjagaan kekeluargaan,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Share.

Leave A Reply