Ibu, Bapa Tiri ‘Adik’ Berdepan Hukuman Gantung..Ini RESPON Daripada Umi

| February 10, 2021 | 0 Comments

Ibu, Bapa Tiri ‘Adik’ Berdepan Hukuman Gantung..Ini RESPON Daripada Umi | Susulan mahkamah mendakwa ibu kandung serta bapa tiri arwah adik amir dengan hukuman gantung, Ini pula respon dari ibu angkat buat mereka. Baca selanjutnya..

TIADA DENDAM DAN MOGA DAPAT HIDAYAH

Melaka – “Tidak sedikit pun berdendam, malah Umi doakan agar ibu kandung dan bapa tiri Adik tabah menghadapi ujian Allah S.W.T pada mereka.”

Begitulah luahan Norlida Abu Hassan, 50, ibu angkat kepada Zubaidi Amir Qusyairi Abdul Malek berusia tujuh tahun atau lebih dikenali sebagai Adik ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Norlida turut mendoakan agar prosiding kes yang dihadapi ibu dan bapa tiri Adik berjalan lancar selain mereka diberikan ketenangan serta dikurniakan hidayah oleh Allah S.W.T.

“Umi maafkan mereka, tidak simpan sebarang perasaan dendam, sebaliknya kami sekeluarga mendoakan mereka diberikan ketenangan dalam menempuhi ujian ini,” katanya.

Norlida telah menjaga Adik sejak kanak-kanak itu berusia dua bulan sebelum diserahkan kembali kepada ibu kandungnya pada Oktober tahun lalu.

Terdahulu, di Mahkamah Majistret Ayer Keroh bapa tiri dan ibu kandung Adik, Mohd. Fadzli Abdull Razak, 38, dan Zuraida Atan, 32, didakwa secara bersama-sama membunuh seorang kanak-kanak lelaki, Zubaidi Amir Qusyairi.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh pada pukul 3.32 petang di sebuah rumah di Jalan KJ 19, Taman Krubong Jaya, pada 29 Januari lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh di hadapan Majistret Mazana Sinin kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Dalam prosiding berasingan di Mahkamah Sesyen, Mohd. Fadzli dan Zuraida didakwa atas pertuduhan mendedahkan mangsa sama dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal atau membenarkannya dianiaya dan diabaikan.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikuti Seksyen 31(1)(a) Akta Kesalahan Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh, Mohd. Fadzli yang diwakili dua Peguam iaitu Datuk Ahmad Musthafi Mohamad dan Muhammad Firdaus Abd. Razak, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Pengakuan sama turut dikemukakan isterinya, Zuraida yang juga diwakili empat peguam iaitu Zamri Idrus, Ishak Mohd. Kari, Yusman Che Aman dan Saifuzzaman Ab. Rahman.

Terdahulu, pendakwaan bagi kedua-dua prosiding itu telah dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri, Badius Zaman Ahmad.

Mahkamah kemudian me­netap tarikh 29 Mac depan untuk sebutan semula kedua-dua kes.

Kompleks Mahkamah Ayer Keroh, di sini semalam dikawal ketat sepasukan anggota polis bertopeng dilengkapi senapang jenis ‘bush master’.

Kosmo! pada 30 Januari lalu melaporkan seorang kanak-kanak lelaki ditemui meninggal dunia dipercayai akibat didera oleh ibu dan bapa tirinya dalam kejadian di Taman Krubong Jaya.

Kematian mangsa dilaporkan oleh bapa tirinya yang mendakwa kanak-kanak itu meninggal dunia akibat lemas di dalam tong air setinggi 0.6 meter di rumah mereka, kira-kira pukul 4 petang.

Sumber : Kosmo 

Tags: , , , ,

Category: JENAYAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *