Dua beranak yang meninggal dunia dalam kemalangan motosikal dikebumikan di dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol Stol, di sini, jam 10.30 pagi tadi.

Mangsa Nur Hasliza Abdul Yazaib, 25, meninggal di tempat kejadian di Kampung Lumpur, manakala bayi lelakinya yang terkeluar daripada kandungan, meninggal dunia pada 12.30 malam tadi di Hospital Pasir Mas, selepas lima jam bertarung nyawa.

Suami mangsa, Mohd Khairi Hasbullah, 31, masih terkejut kemalangan itu, namun bersyukur kerana proses menguruskan jenazah berjalan lancar.

Menurutnya, terima kasih diucapkan kepada semua pihak dan saudara mara yang membantu menguruskan jenazah untuk dikebumikan.

Tambahnya, hatinya masih tidak keruan memikirkan anak kedua, Nurul Iman Maisara, 6, yang masih mendapat rawatan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Katanya, Nurul Iman seorang daripada tiga anak saya yang membonceng bersama ibunya dan cedera parah di kepala, muka dan tangan. Semoga dia kuat melawan sakit dan kembali pulih.

Dalam kemalangan malam tadi, tiga maut termasuk seorang remaja lelaki, Muhamad Shakim Muhamad Zaki, 18, penunggang motosikal yang bertembung dengan Nur Hasliza yang mengandung sembilan bulan.

Mohd Khairi berkata, dia reda dengan ujian itu dan menasihatkan remaja untuk menunggang motosikal secara berhemah agar kejadian yang menimpa isteri dan anak-anaknya tidak berulang lagi.

Sumber: Berita Harian

Share.

Leave A Reply