Ibu Kecewa Anak Dibuli Rakan Sekolah Sebab Miskin, Adik Cacat | Seorang kanak-kanak menangis setelah pulang dari sekolah kerana mendakwa dia telah dibuli secara mental oleh rakan-rakan di sekolah kerana miskin dan mempunyai adik cacat.
Menerusi klip video yang dipercayai dimuat naik ibu kanak-kanak perempuan terbabit, Yusrinayusoff98, memaparkan, kanak-kanak tersebut menangis teresak-esak sambil menceritakan kejadian yang berlaku di sekolahnya itu.
@yusrinayusoff98 HARINI KAKAK HARIS BALIK MENANGIS SEBAB KAWAN2 DISEKOLAH HINA ADIK DIA CACAT , KAKI TERKULAI , ORANG SUSAH , BODOH .. YAALLAH AII KECIK2 DAH TAK ADA ADAB ..KESIAN LAA 😭
Dibuli Serta Dihina Rakan Sekolah
“Hari ini kakak Haris balik menangis sebab kawan-kawan di sekolah hina adik dia cacat, kaki terkulai, orang susah dan bodoh.
“Ya Allah, kecil-kecil dah tak ada adab. Kasihanlah,” katanya menerusi ruangan kapsyen.
Bagaimanapun, menurut perkongsian terbaru Yusrinayusoff98, perkara ini telah diadukan kepada pihak sekolah dan sedang menunggu tindakan selanjutnya.
Aduan Pada Pihak Sekolah
“Tadi pagi ibu kakak Chenta sudah pergi berjumpa dengan pihak sekolah. Pihak sekolah akan siasat perkara ini dengan lebih mendalam,” katanya.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata orang ramai berkongsi pengalaman serupa dengan kanak-kanak terbabit.
“Saya pernah kena buli dengan seorang lelaki zaman sekolah rendah dulu. Dia selalu kata saya hitam. Memang sedih nak marah saja setiap hari pergi sekolah,” kata Shaliya.
Tidak kurang juga ada yang meninggalkan komen supaya ibu bapa menasihati anak-anak supaya lebih beradab.
“Tolonglah mak ayah di luar sana kalau nampak kekurangan anak, bagi nasihat untuk mereka supaya hormat dan jangan hina kanak-kanak istimewa. Semoga kakak kuat,” ujar Elladuan.
Perkongsian tersebut tular sehingga memperoleh lebih 100,000 tontonan dan 3,204 tanda suka.
Sumber : Kosmo
Baca Juga Artikel Menarik Ini :
5 Pelajar Senior MRSM Buli Pelajar Tingkatan 3 Akhirnya Ditahan
5 Pelajar Senior MRSM Buli Pelajar Tingkatan 3 Akhirnya Ditahan | BALIK PULAU – Polis menahan lima pelajar senior tingkatan lima di sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di sini bagi membantu siasatan kes buli membabitkan seorang pelajar tingkatan tiga di tandas lelaki sekolah itu, Jumaat lalu.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 11 malam itu dipercayai akibat mangsa turun lewat untuk menunaikan solat subuh.
Difahamkan, mangsa mengalami luka kecil pada bahagian badan selepas dipukul menggunakan kaki serta tangan oleh kumpulan senior terbabit.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal telah mengesahkan menerima laporan dan tangkapan pelajar tersebut.
Menurut beliau, tangkapan dibuat pada hari sama selepas pihak polis menerima laporan daripada bapa mangsa.
“Bagaimanapun, kesemua pelajar berkenaan dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan mereka direkodkan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan iaitu merusuh.
“Selain itu, siasatan awal polis juga mendapati kelima-lima suspek terbabit telah membuli 14 mangsa lain pada tarikh sama dalam tempoh masa antara 11 hingga 12.30 tengah malam membabitkan tiga lokasi berbeza iaitu tandas, bilik beg dan bilik senior di blok B.
“Walau bagaimanapun, tiada laporan dibuat oleh mangsa lain setakat ini,” katanya.
Sementara itu, ibu kepada seorang pelajar tingkatan tiga sekolah terbabit berkata, kejadian buli itu hanya diketahui umum selepas ada waris meminta kenyataan balas daripada pihak MRSM berhubung tersebut.
Dakwanya, tiada kenyataan diberikan pihak MRSM setakat ini berhubung kejadian itu dan mungkin hanya kepada ibu bapa pelajar yang terlibat.
Sumber: Kosmo
Baca Juga Artikel Menarik Ini :
Wanita M@ut Selepas Jadi Mangsa Buli Siber
Wanita M@ut Selepas Jadi Mangsa Buli Siber | Keterujaan seorang wanita berkongsi gambar di media sosial selepas dapat memasuki universiti berakhir dengan kematian apabila menjadi mangsa buli siber.
Enam bulan lalu, Zheng Linghua, 23, itu berkongsi imej dirinya di platform Xiaohongshu dengan rambut merah jambu dan kelihatan teruja mengumumkan kepada dunia dia mendapat tempat untuk belajar muzik di Universiti Normal China Timur.
BBC melaporkan, tetapi kegembiraannya tidak lama apabila beberapa hari selepas itu, dia menjadi sasaran buli dalam talian.
Gambarnya dikongsi dengan keterangan palsu dan menghina.
Dia kemudian menjadi sasaran ejekan tanpa henti dengan beberapa orang memanggilnya ‘gadis kelab malam’ dan ‘roh jahat’.
Tidak jelas bagaimana Zheng meninggal dunia tetapi pada bulan lalu seorang rakannya menyampaikan berita sedih itu dalam platform Xiaohongshu.
Tulisnya, kerana membuli dalam talian dan di sekolah, nyawa Zheng Linghua berakhir pada 23 Januari 2023.
Walaupun buli siber berlaku di mana-mana, budaya kolektivis China dan kekurangan tekanan ke atas syarikat media sosial untuk menghapuskan penyalahgunaan memberi fenomena momentum tertentu.
Tinjauan lebih 2,000 pengguna media sosial di China mendapati, kira-kira empat daripada 10 responden mengalami beberapa bentuk penyalahgunaan dalam talian.
Ia juga mendapati 16 peratus daripada mangsa mempunyai pemikiran untuk membunuh diri.
Hampir separuh mempunyai insomnia dan 32 peratus kemurungan.
Zheng pada mulanya mempunyai rancangan untuk berdepan dengan pendera dalam taliannya dengan tindakan undang-undang, salah satu siaran Weibonya pada September lalu mengenai “bagaimana untuk menyaman orang yang menyerang anda secara gila dari belakang skrin?”.
Tetapi dia kemudiannya didiagnosis dan diberi ubat untuk kemurungan yang didedahkan di media sosialnya, berkongsi butiran mengenai bagaimana dia melawan gangguan tidur dan makan.
Pada November, dia berkongsi gambar dirinya di wad hospital dengan keterangan: “secara aktif melawan kemurungan”.
Kematiannya hanyalah satu daripada rentetan kematian yang dikaitkan dengan buli dalam talian di China.
Pada Januari 2022, Liu Xuezhou dari bandar Xingtai membunuh diri selepas pertemuan semula dengan ibu bapa kandungnya bertukar ngeri.
Ketika pertengkaran mereka dimainkan dalam talian, beberapa orang menuduhnya mementingkan diri sendiri.
Remaja berusia 17 tahun itu, yang menjadi yatim piatu pada usia empat tahun meninggalkan nota yang memperincikan pengalaman lalunya dengan buli dan kemurungan.
Sumber: Harian Metro