Ibu Maut Ditembak, Pertanyaan Anak Sulong Arwah Buat Ramai SEDIH | Pasir Mas: “Sekarang saya dah tiada mami (ibu), saya sangat sedih lagi pun adik masih kecil.

“Saya tak tahu kenapa ‘orang itu’ boleh tembak mami yang sangat saya sayang, lagipun mami orang baik,” luah Mohamad Mustaqim Darwish Mustafa, 10.

Dia adalah anak sulong kepada Farrah Emirah Mazlan, 26, wanita mengandung yang ditemukan mati dengan kesan tembakan di perut dalam sebuah kereta diparkir di tepi jalan di Kampung Repek, di sini, petang semalam.

Mohamad Mustaqim yang juga abang sulong kepada tiga beradik mengakui terkejut serta tidak percaya dengan apa yang terjadi, namun mendapat sokongan dan kata semangat daripada saudara-mara dan moyang, Zawiah Sulong, 68.

“Saya hanya tahu mami meninggal dunia selepas dibawa ke lokasi kejadian petang semalam, saya lihat ibu kaku di sebalik tingkap kereta.

“Kali terakhir kami berjumpa Jumaat malam lalu sebelum mami keluar, malah saya sempat mengirim nasi goreng untuk dimakan jika dia pulang, namun tidak kesampaian,” katanya.

Mohamad Mustaqim ditemui ketika pengebumian ibunya itu di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bechah Kelubi, Chetok, di sini, hari ini.

Sementara itu, ibu mangsa, Siti Haja Said, 47, tidak menyangka anak sulong daripada tujuh beradik itu ‘pergi’ dengan cara sebegitu, namun dia reda dengan ketentuan Ilahi.

“Tak sangka perbualan melalui telefon pada tengah hari Jumaat lalu rupa-rupanya adalah perbualan terakhir kami berdua.

“Walaupun arwah dipelihara ibu mentua sejak kecil, namun kami sentiasa berhubung dan dia turut berkongsi kegembiraan perkembangan bayi dalam kandungannya.

“Saya terima dengan reda namun berharap agar polis dapat mencari pembunuh dengan segera serta memberinya hukuman setimpal,” katanya.

SUMBER : Harian Metro

Share.

Leave A Reply