Ibu Tunggal Maut Disyaki Ditikam Teman Lelaki

| April 14, 2021 | 0 Comments

Ibu Tunggal Maut Disyaki Ditikam Teman Lelaki | Malang tidak berbau apabila seorang wanita ditemui maut di dalam sebuah rumah di Taman Perpaduan, Ipoh malam tadi. Wanita tersebut yang juga seorang ibu tunggal ditemui maut dengan kesan tikaman akibat pergaduhan dengan seorang lelaki yang disyaki sebagai teman lelakinya.

Ibu Tunggal Maut Disyaki Ditikam Teman Lelaki

Ipoh: Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman, berkata pihaknya telah menerima sebuah panggilan kecemasan daripada jiran berdekatan bagi memaklumkan pergaduhan mangsa dengan suspek pada jam 8.45 malam.

Susulan itu, katanya sebaik menerima panggilan tersebut, anggota bergegas ke lokasi sebelum menemui kedua-dua mangsa dan suspek dalam keadaan yang berlumuran darah dengan beberapa kesan tikaman yang terdapat pada badan di ruang tengah kediaman terbabit.

Beliau berkata, mangsa dan suspek ditemui berdekatan antara satu sama lain di rumah itu yang dihuni wanita terbabit bersama dua anak kecilnya yang berusia enam serta lapan tahun.

Katanya, mangsa yang berumur 31 tahun itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala suspek yang berusia 23 tahun itu pula mengalami kecederaan parah dan dirawat di zon merah Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini.

Anuar berkata, hasil daripada siasatan awal mereka mendapati mangsa dan suspek tidak mempunyai hubungan kekeluargaan. Justeru itu, suspek tersebut dipercayai merupakan teman lelaki mangsa.

“Bagaimanapun, kita masih tidak pasti sama ada tikaman pada suspek dilakukan oleh si mati atau lelaki itu cuba membunuh diri selepas membunuh mangsa,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian, malam tadi.

Tambah beliau, pihaknya sedang merakam keterangan saksi kejadian termasuk jiran dan anak mangsa bagi mengetahui punca kejadian termasuk bagi mengenal pasti hubungan sebenar antara mangsa dan suspek.

Beliau memaklumkan bahawa suspek merupakan seorang penganggur yang dilaporkan telah beberapa kali mengganggu mangsa. Suspek tersebut juga pernah ditangkap polis pada bulan lalu atas kesalahan menceroboh rumah wanita itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana didapati membunuh.

Difahamkan, mangsa bekerja di sebuah pusat jagaan warga emas di Pasir Puteh, di sini.

Sumber: Berita Harian

Tags: , , , ,

Category: JENAYAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *