Ini Lokasi Mayat Juruterbang Helikopter Terhempas Dijumpai | Mayat juruterbang helikopter Eurocopter EC120B yang dilaporkan hilang dari radar di sekitar Hutan Simpan Chikus, di sini, berjaya ditemui pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sekitar pukul 9.30 pagi.

Mayat Tsz Kin Richard Chan, 58, ditemui pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di bahagian kokpit helikopter sebelum berjaya dibawa keluar pada pulul 10.12 pagi.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, mangsa merupakan warga negara Hong Kong dan bekerja dengan syarikat swasta penerbangan berkenaan.

Menurut Mohd Yusri, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan pasukan TUDM berjaya menjumpai lokasi nahas di Hutan Simpan Chikus pada pukul 9.30 pagi sebelum kru helikopter TUDM turun ke lokasi lima minit kemudian.

“Mayat mangsa kemudiannya dibawa keluar menaiki helikopter dan dihantar ke padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson, Ipoh dan dibawa menaiki ambulans ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

“Kru TUDM memaklumkan mangsa disyaki telah meninggal dunia di lokasi nahas,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Balai Polis Bidor, di sini hari ini.

Mohd. Yusri turut memaklumkan keluarga mangsa telah dimaklumkan mengenai tragedi berkenaan dan pihaknya akan menunggu laporan bedah siasat yang akan dijalankan.

“Mayat telah dibawa ke hospital dan kita akan menunggu laporan daripada pihak hospital, baru kita akan tahu tahap kecederaan dialaminya,” katanya.

Share.

Leave A Reply