Ini Perkembangan Baharu Kes Daie Syed. Daie Syed dibebaskan atas pertuduhan mencabul dan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap seorang penuntut kolej swasta, dua tahun lalu. Baca seterusnya.

PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan penceramah selebriti, Daie Syed atau nama penuhnya Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful daripada pertuduhan mencabul dan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap seorang penuntut kolej swasta, dua tahun lalu.

Hakim Jamaludin Mat memutuskan Syed Shah Iqmal dilepas dan dibebaskan (DNA) daripada kedua-dua pertuduhan selepas membenarkan permohonan peguamnya Syed Amirul Syed Edros di bawah Seksyen 254(3) Kanun Tatacara Jenayah (CPC).

Jamaludin bersetuju dengan penghujahan peguam bela dan memerintahkan wang jaminan RM25,000 dikembalikan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim memohon tertuduh dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) di bawah Seksyen 254(2) CPC.

Pihak pendakwaan memaklumkan, pihaknya mengemukakan permohonan itu selepas mempertimbangkan keadaan-keadaan kes.

Ujarnya, pengadu antara lain mengalami masalah kemurungan yang serius atas kejadian yang menimpanya sehingga beberapa kali mencederakan diri dan mempunyai keinginan untuk mati (death wishes).

Cabul

Syed Shah Iqmal, 27, yang lebih dikenali sebagai Daie Syed sepatutnya dibicarakan pada 18, 20, 21 dan 22, 25 hingga 29 April dan sehari pada 17 Mei lalu.

Pada 19 Mac 2021, kes cabul yang dihadapi Syed Shah Iqmal dibenar dipindahkan dari Mahkamah Majistret ke Mahkamah Sesyen untuk dibicarakan serentak.

Ketika didakwa di Mahkamah Sesyen pada 10 Disember 2020, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa yang ketika itu berusia 22 tahun.

Dia didakwa melakukan persetubuhan luar tabii mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Di Mahkamah Majistret pula, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa sama dengan maksud untuk mencabul kehormatannya.

Tertuduh didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di antara pukul 3 pagi dan 4 pagi, 17 Oktober 2020 di rumah sewanya di Empire City, Jalan PJU 8/1, Damansara Perdana dekat sini.

Pendakwah selebriti itu didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan.

Sumber: Utusan

Share.

Leave A Reply