Ini Tindakan TEGAS Kepada Pemilik Nasi Kandar Di Napoh. Ramai Setuju.

| August 10, 2020 | 0 Comments

Ini Tindakan TEGAS Kepada Pemilik Nasi Kandar Di Napoh. Ramai Setuju. | JITRA: Kerajaan negeri akan mengambil tindakan tegas ke atas pemilik Nasi Kandar Salleh di Napoh, termasuk tidak akan membenarkan premis itu untuk kembali beroperasi.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata premis terbabit sudah diarah tutup dan disita sebelum tindakan lanjut ditentukan, selepas Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (TEMCO) tamat pada 30 Ogos nanti.

Katanya, beliau faham ramai pihak tidak berpuas hati dengan pemilik premis terbabit, bagaimanapun kerajaan negeri bertanggungjawab memastikan pelaksanaan TEMCO berjalan lancar terlebih dahulu.

“Kita akan bincang bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) bagi menentukan tindakan termasuk membatalkan lesen perniagaan kedai.

“Perasaan marah itu tunggu dahulu, kita fokus dalam merawat pesakit dan memastikan semua penduduk selamat,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Pusat Kawalan Operasi Bantuan (PKOB) TEMCO Kubang Pasu di sini, hari ini.

Sebelum ini, TEMCO terpaksa dilaksanakan di empat mukim di Kedah susulan kewujudan Kluster Sivagangga, berpunca daripada pengusaha kedai nasi kandar di Napoh itu yang didapati positif COVID-19 selepas pulang dari India.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi turut mengumumkan tiada lagi pergerakan keluar masuk dibenarkan kepada penduduk di kawasan TEMCO termasuk untuk bekerja berkuat kuasa serta-merta.

Katanya, sebelum ini ada penduduk bekerja di luar kawasan TEMCO dibenarkan keluar, namun ia mendedahkan orang ramai kepada penularan wabak COVID-19.

“Kita sudah berbincang bersama Kerajaan Pusat bagi melaksanakan TEMCO sepenuhnya dan pekerja boleh mendapatkan surat daripada Kementerian Sumber Manusia bagi diserahkan kepada majikan masing-masing.

“Majikan juga diharap tidak memotong atau memberhentikan kakitangan terbabit kerana tindakan ini perlu diambil bagi menyelamatkan negara dan mengawal penyakit,” katanya.

Sementara itu, seramai 3,400 ketua rumah sudah mendapat bantuan disalurkan kerajaan negeri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kepada penduduk terjejas akibat TEMCO di Mukim Napoh, Mukim Ah dan Mukim Binjai.

Sumber : BH

Tags: , , , , , , , ,

Category: INFORMASI, KESIHATAN, SEMASA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *