Ini Titah YDPA Kepada 30 Ahli Parlimen BN. | Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi berkata, Yang di-Pertuan Agong menitahkan bahawa semua 30 ahli parlimen parti itu mesti mengambil bahagian dalam kerajaan perpaduan.

Memberitahu hal itu kepada Malaysiakini, Ahmad Zahid berkata dia bersama dua lagi pemimpin tertinggi gabungan berkenaan menerima titah tersebut semasa menghadap Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Negara pagi tadi.

Ditanya mengenai sikap berkecuali BN seperti yang dinyatakan beberapa pemimpin parti itu, Ahmad Zahid menjawab: “Tak ada, tak ada… Bukan itu titah tuanku,” katanya.

“Titah Tuanku ialah bentuk kerajaan perpaduan,” jelasnya lagi.

Selain Ahmad Zahid, turut menghadap Agong ialah Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung BN Zambry Abdul Kadir. Mereka menghadap kira-kira jam 10.30 pagi.

Agong semalam menitahkan agar semua 30 ahli parlimen BN untuk hadir di Istana Negara pagi ini untuk ditemu bual secara langsung dalam usaha baginda melantik perdana menteri baru Malaysia.

Bagaimanapun, menurut Ahmad Zahid, sesi itu digantikan dengan pertemuan mereka bertiga saja yang menghadap Agong.

Susulan titah Agong pagi tadi, Ahmad Zahid berkata, titah tersebut akan dibincangkan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dan kemudiannya Dewan Tertinggi BN.

Berdasarkan surat yang dikeluarkan ibu pejabat parti, mesyuarat MKT Umno dijadual berlangsung pada jam 8 malam ini, diikuti pertemuan Dewan Tertinggi BN.

BERITA TERDAHULU… Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tiba di Istana Negara pagi ini, untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Kenderaan berwarna putih dinaiki Ahmad Zahid memasuki Istana Negara melalui pintu dua pada kira-kira 10.45 pagi, sejurus selepas kenderaan Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hassan tiba pada 10.40 pagi.

Turut kelihatan masuk melalui pintu sama ke Istana Negara ialah kenderaan membawa Setiausaha Agung BN Datuk Seri Zambry Abd Kadir.

Semalam, Al-Sultan Abdullah menitahkan semua 30 Ahli Parlimen BN menghadap Seri Paduka di Istana Negara secara individu pada 10.30 pagi ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata ia lanjutan daripada sesi menghadap baginda oleh Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin di Istana Negara, petang semalam.

Terdahulu Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali serta Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim dilihat masuk ke Istana Negara melalui pintu sama.

Turut kelihatan tiba di Istana Negara kira-kira 11.10 pagi adalah konvoi kenderaan wakil parti Gabungan Parti Sarawak (GPS) antaranya Datuk Seri Fadillah Yusof dan Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Kemelut berhubung pelantikan Perdana Menteri ke-10 berlanjutan memasuki hari keempat selepas tiada gabungan parti yang mendapat majoriti mudah 112 kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Sabtu lepas bagi membentuk kerajaan.

Keputusan PRU15 menyaksikan BN memperoleh 30 kerusi, PH (82), PN (73), GPS (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Bebas (dua) serta Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat masing-masing satu kerusi.

Sumber : MK

Share.

Leave A Reply