Isteri Maut, Suami Dan Anak Parah Kereta Terlibat Kemalangan

| November 29, 2020 | 0 Comments

Isteri Maut, Suami Dan Anak Parah Kereta Terlibat Kemalangan | Muar- Seorang wanita maut manakala suami dan anak tirinya parah selepas kenderaan dinaiki mereka terlibat dalam sebuah kemalangan di Persimpangan Parit Setongkat, Jalan Salleh, di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, dalam kejadian pukul 2 pagi itu, mangsa, Nor Aina Farahin Jai, 31, maut di tempat kejadian.

Manakala suaminya, Muhammad Alliashia Othman, 37, dan anak tiri, Aliya Farhana Abdullah, 20, masing-masing parah di kepala.

Menurut Zaharudin, kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan jenis Proton Exora dipandu suami yang dinaiki mangsa dan tiga lagi anak tirinya dalam perjalanan menghala ke Pagoh.

“Berdasarkan siasatan, Proton Exora yang datang dari arah Bandar Muar sedang dalam perjalanan menghala ke Pagoh, namun ketika tiba di tempat kejadian, sebuah kenderaan jenis Honda Accord yang datang dari arah sebelah kanan secara tiba-tiba telah keluar dari persimpangan Parit Setongkat untuk menuju ke Jalan Salleh.

“Akibatnya, kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 49 tahun itu telah merempuh kenderaan dinaiki mangsa sekeluarga hingga menyebabkan ia hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, akibat kemalangan itu, pemandu Honda Accord mengalami kecederaan retak tulang kaki dan masih tidak sedarkan diri.

“Manakala dua lagi anak tiri mangsa berusia 10 dan tiga tahun cedera ringan dan masih dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sumber : Kosmo

Tags: , , , ,

Category: KEMALANGAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *