Status WhatsApp yang dimuat naik Rohani Abdullah, 47, menunjukkan keindahan Taman Negeri Royal Belum, Perak ketika melalui kawasan itu menjadi menjadi status terakhir sebelum dia terkorban bersama suaminya dalam kemalangan semalam.

Isteri Sempat Muat Naik Status Whatsapp Sebelum Maut Bersama Suami

Dalam kemalangan di Kilometer 76 Jalan Raya Timur Barat, Gerik-Jeli berdekatan Hentian Rehat dan Rawat (RnR) Titiwangsa, Gerik, jam 6.45 petang, Rohani dan suaminya, Azmi Imas, 46, maut di tempat kejadian.

Manakala dua anak mereka, Nur Aina Fatiha, 18, dan Muhammad Adam Darwish, 14, cedera.

Anak saudara Rohani, Wan Rubiah Wan Sulaiman, 40, berkata, dia ada membalas status dimuat naik arwah ibu saudaranya pada 6.15 petang semalam.

“Arwah ibu saudara memuat naik status itu ketika melalui kawasan berkenaan dan saya sempat komen bagi tahu pemandangan di sana (Taman Negara Royal Belum) cantik.

“Pada masa sama, saya sempat berpesan kepadanya supaya berhati-hati.

“Namun panggilan diterima daripada sepupu (Muhammad Arif Haiqal, 20,) yang juga anak kepada arwah tidak lama kemudian memang mengejutkan saya.

“Arif beritahu adiknya (Nur Aina Fatiha) telefon memaklumkan mereka kemalangan.

“Ibu bapanya masih berada dalam kereta, sementara mereka pula berada di luar,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Buluh, di sini, hari ini.

Wan Rubiah berkata, sepupunya memaklumkan ibu bapa mereka masih berada di dalam kereta sambil meminta mendoakan kedua-dua orang tuanya selamat.

“Saya tidak tahu bagaimana keadaan mereka, tetapi Aina minta kami berdoa sambil minta kami datang ke sana segera.

“Saya cuba tenangkan Aina dan minta dia jaga adiknya sebelum dimaklumkan mereka dibawa ke Hospital Jeli, Kelantan untuk rawatan.

“Manakala ibu dan bapanya pula dibawa ke Hospital Gerik,” katanya.

Katanya, arwah ibu saudaranya ada berpesan kepadanya untuk membawa neneknya, Semek Abdul Rahman, 80, yang menghidap penyakit darah tinggi ke Hospital Hulu Terengganu, semalam.

“Biasanya, arwah yang akan bawa nenek (Semek) dan dia bersungguh-sungguh minta tolong kerana dia tak sempat pulang ke Terengganu.

“Saya memintanya supaya tidak risau dan minta dia sekeluarga berhati-hati,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Share.

Leave A Reply