Isu Buli Pelajar: “Gejala Buli Perlu Dianggap Jenayah Berat”- Bapa Zulfarhan | Buli ini bukan hanya mendatangkan kecederaan buat mangsa, malah gejala buli turut mampu mengorbankan lebih ramai nyawa jika ia tidak dibendung dengan segera.

Isu Buli Pelajar: "Gejala Buli Perlu Dianggap Jenayah Berat"- Bapa Zulfarhan

Perkara itu turut menjadi kebimbangan buat Zulkarnain Idros, bapa kepada Allahyarham Zulfarhan Osman, yang terkorban susulan menjadi mangsa buli empat tahun lalu.

Jelasnya, gejala buli ini perlu dianggap sebagai jenayah berat yang boleh mengundang maut dan membawa kemudaratan kepada orang lain.

Selain itu, kegiatan tersebut dapat memberikan kesan emosi yang mendalam khususnya buat ibu bapa sepertinya, yang kehilangan anak ekoran menjadi mangsa korban buli.

Menurutnya, dari segi keluarga, jika seseorang mangsa buli itu merupakan ‘harapan’ keluarganya,  apabila mengalami kecederaan, kecacatan maka ia boleh menyebabkan ia menjadi kekal sepanjang hidupnya.

Katanya lagi, jika anak itu meninggal dunia contohnya seperti anaknya, yang menjadi harapan keluarga dan adik-adik lain, ia menjadi satu kerugian malah ia menyebabkan dirinya terganggu dan adik-adik mangsa juga tidak dapat menjadikan abang mereka sebagai idola.

Jelas Zulkarnain, kes buli yang dilaporkan sejak kebelakangan ini disifatkan amat kritikal, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan kecederaan fizikal.

Oleh itu, beliau memohon agar semua pihak menjadi lebih peka dalam menangani masalah tersebut, yang ketika ini dilihat seperti tiada penghujungnya.

Zulkarnain berpendapat, keprihatinan ibu bapa menjadi kunci utama dalam memastikan anak-anak diberikan kesedaran awal untuk tidak terbabit dalam gejala ini.

Jika dilihat pada sejarahnya, pakar berpendapat bahawa kes-kes buli ini, salah satunya daripadanya berpunca daripada keluarga.

Jika sesebuah keluarga itu porak-peranda, maka peribadi seseorang anak itu pastinya terkesan buruk asbab daripada itu justeru, Ibu bapa perlu ambil berat dan beri tumpuan sebaiknya kepada anak-anak agar setiap prilakunya, siap kawannya dapat kita ketahui dan masalah buli ini juga dapat dicegah lagi, ujarnya.

Mengulas lanjut berkenaan sebuah video tular yang memaparkan kes buli di sebuah institusi pendidikan di Perak, isterinya Hawa Osman berkata, dia terkilan mendapati pihak berkuasa sewenang-wenangnya membiarkan perkara ini terus berleluasa sekaligus menjadi penyakit sosial yang mengancam keselamatan awam.

Menurutnya, dia berasa marah kerana berfikiran bahawa kes Zulfarhan dan T Nhaveen adalah melibatkan kes buli terakhir namun apabila terjadi kes buli baru-baru ini, dia berasa sangat marah.

Dia berpendapat bahawa seharusnya pihak warden mengambil inisiatif yang lebih dalam mengawal budak-budak tersebut lebih-lebih lagi pada waktu malam. Pemeriksaan mengejut (spotcheck) ke atas budak-budak tersebut perlu dilakukan dengan lebih kerap bagi mengatasi isu ini.

Jelasnya, meskipun trend peningkatan kes dera dan buli ketika ini mempersoalkan nilai-nilai kemanusiaan serta norma kehidupan masyarakat di negara ini, namun, mereka tetap bersyukur terdapat segelintir pihak yang masih prihatin terhadap kejadian ini.

Mereka turut berharap orang ramai tidak takut untuk terus tampil membuat aduan berkenaan aktiviti keganasan yang berlaku di sekitar mereka.

Sumber: Astro Awani

Share.

Leave A Reply