Isu Hina Agama: “Tindakan Lebih Tegas Akan Diambil”- Annuar Musa | Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah diminta untuk melihat semula prosedur operasi standard (SOP) tindakan di bawah undang-undang sedia ada bagi menangani isu penghinaan agama yang masih berleluasa di media sosial.

Isu Hina Agama: "Tindakan Lebih Tegas Akan Diambil"- Annuar Musa

Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, langkah tersebut perlu diambil bagi membolehkan tindakan lebih proaktif dilakukan dalam menangani isu melibatkan hina agama ini.

Beliau berpendapat, kerajaan melalui SKMM dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PRDM) perlu mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan provokasi agama sehingga menggugat keharmonian negara berbilang kaum.

Difahamkan bahawa SKMM sedang membuat rujukan kepada Jabatan Peguam Negara untuk membolehkan pentafsiran jelas di bawah undang-undang sedia ada iaitu dengan mengenakan tindakan lebih tegas dan pantas tanpa kompromi perlu dilakukan terhadap penghinaan agama Islam dan juga agama-agama lain.

Beliau mengeluarkan penyataan sedemikian bagi menjawab pertanyaan Wan Hassan Mohd Ramli (Pas-Dungun) yang bertanya mengenai langkah strategik diambil SKMM bagi menangani isu penghinaan terhadap agama Islam yang masih berleluasa di media sosial.

Selain itu, pertanyaan lain turut dikemukan oleh Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) mengenai  kesediaan pihak kerajaan dalam mempertimbangkan untuk mewujudkan Akta Keharmonian Nasional, Annuar berkata, buat masa ini tiada cadangan ke arah tersebut.

Jelasnya, soal menggubal perundangan baharu bukanlah jawapan kepada masalah ini. Advokasi dan usaha-usaha berterusan untuk mendorong dan menggalakkan rakyat supaya mengamalkan sikap serta nilai bersesuaian dengan sebuah negara pelbagai kaum, agama dan adat resam.

Sementara itu, beliau turut menyatakan bahawa langkah berterusan perlu diperkukuhkan supaya nilai saling menghormati atas kepelbagaian dan tidak membangkitkan perkara perkauman serta menyentuh soal kedudukan raja-raja dapat dibendung.

Tambah beliau, kerajaan juga mengulangi pendirian untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menghina mana-mana agama di negara ini.

Sumber: Sinar Harian

Share.

Leave A Reply