Isu Pembelian Helikopter Cecah RM300 Juta, Ini Kata Putus SPRM. | KUALA LUMPUR: Tiada pendakwaan akan dilaksanakan berhubung kes pembelian helikopter tempur ringan MD530G bernilai lebih RM300 juta yang lewat diterima oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata perkara itu diputuskan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selesai menjalankan siasatan.

“Bagi kes pembelian helikopter MD530G, siasatan selesai dijalankan.

“Berdasarkan kertas siasatan, AGC memutuskan tiada pendakwaan atas kesalahan rasuah yang dilakukan oleh mana-mana individu bagi isu ini,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) yang bertanya sejauh mana Menteri Kanan Pertahanan dan pegawai Kementerian Pertahanan dipanggil SPRM untuk tujuan penyiasatan berkaitan dakwaan rasuah dan penyelewengan berkaitan perolehan Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS) dan helikopter MD530G.

Pada 13 Jun 2019, Kementerian Pertahanan membuat laporan kepada SPRM berhubung pembelian enam helikopter MD530G bernilai lebih RM300 juta pada 2015, yang ketika itu belum diterima ATM.

Media ketika itu melaporkan, kelulusan kontrak pada November 2015 bagi pembelian helikopter keluaran syarikat gergasi aeroangkasa Amerika Syarikat (AS), McDonnel Douglas, dibuat secara rundingan terus dengan ejen syarikat berkenaan yang berpangkalan di Malaysia, selain ia tidak melalui prosedur sepatutnya, dengan kebanyakan terma kontrak merugikan kerajaan.

Kontrak itu juga dilaporkan diluluskan dalam keadaan tiada spesifikasi ketenteraan mengenai pembelian helikopter itu, sedangkan ia perkara wajib dalam pembelian aset tentera.

Pada 13 Jun lalu, Destini Bhd dilapor menyelesaikan penghantaran enam helikopter MD530G kepada tentera Malaysia selepas menamatkan ‘Final Acceptance Test’.

Berhubung siasatan membabitkan perolehan LCS, Wan Junaidi memaklumkan perkara itu masih dalam siasatan SPRM.

“SPRM memanggil saksi yang terbabit daripada pelbagai pihak termasuk Kementerian Pertahanan,” katanya.

SUMBER : BH

Share.

Leave A Reply