Isu Solat Anggota Keselamatan. Ini Respon Mufti Perlis Yang Ditunggu Ramai

| August 12, 2020 | 0 Comments

Isu Solat Anggota Keselamatan. Ini Respon Mufti Perlis Yang Ditunggu Ramai | Saya menyokong hasrat untuk menghapuskan jenayah atau sindiket jenayah.

RAMAI ANGGOTA POLIS DAN TENTERA YANG BAIK

Namun, untuk menyatakan KEBANYAKAN anggota PDRM dan ATM tidak berakhlak, tidak solat, tidak memikirkan soal agama anak isteri dan seumpamanya, itu bagi saya sudah keterlaluan.

Saya kenal ramai anggota PDRM dan Tentera, akhlak mereka kadang-kadang jauh lebih baik dari banyak pihak. Mereka juga insan dan sebahagian besar mereka itu muslim.

Ramai mereka yang baik amalan agama mereka. Menjaga solat dan zahir pada kehidupan mereka tanda taqwa. Sementara yang bukan beragama Islam pun, ramai yang sangat terpuji sikap mereka.

Perlu kita ingat, atas pengorbanan mereka, kita hidup dengan aman dalam negara kita. Kelemahan memang ada di mana-mana pasukan dan agensi, namun keamanan yang kita kecapi jauh lebih baik dibandingkan kebanyakan negara lain.

Jika kebanyakan mereka itu buruk, sudah pasti tidak ke tahap ini keamanan kita. Apa yang perlu kita tahu, disebabkan tugasan yang mereka laksanakan itulah telah membolehkan kita semua ke masjid, ke sekolah, ke tempat kerja dan semua kegiatan hidup dengan aman.

Bagi setiap kebaikan yang kita lakukan atas sebab keamanan yang mereka jaga, jika tulus niat mereka, mereka memperolehi pahala yang banyak.

Uniform dan tugasan adalah pekerjaan mereka. Namun, di sebalik pakaian dan tugas, mereka adalah insan seperti kita. Ada perasaan, ada kehidupan dan ada keluarga. Pastinya, ada kalangan mereka yang baik dan ada yang sebaliknya.

Janganlah kerana ada kalangan yang berbuat salah, kita menyebut KEBANYAKAN mereka sebagai buruk. Jangan kita lupa budi orang lain. Makna budi dan akhlak itu jauh lebih besar dari sekadar ke masjid atau berkopiah semata.

Mereka yang berjaga malam, menjaga sempadan negara, menjaga jalanraya, menyiasat jenayah, memeriksa ancaman terhadap negara dan pelbagai tugasan lagi, adalah nilai budi yang tidak terbalas.

Ya, pasti ada yang menyalahgunakan kuasa dan pangkat. Hal itu tidak boleh dinafikan. Namun, jangan kita lupa majoriti yang telah membolehkan keamanan terlaksana dalam negara ini.

Sabda Nabi:
ومَن لا يشكرُ النّاسَ لا يشكرُ اللهَ
Sesiapa yang (tahu) tidak berterima kasih kepada manusia, maka dia tidak berterima kasih kepada ALLAH (Riwayat Ahmad dll -sahih-)

Sumber : FB MAZA

Tags: , , , ,

Category: SEMASA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *