Jangan Mudah Termakan Dengan Pujukan ‘Ulat Jenazah’. Kegiatan ‘ulat jenazah’ menguruskan kematian mencetuskan kontroversi apabila mereka mengenakan caj yang mahal hingga membebankan waris. Boleh dikatakan mereka seperti mengambil kesempatan dalam kesempitan. Baca selanjutnya.

Kuala Lumpur: Dibantu ‘orang dalam’ yang memberikan maklumat kematian serta sikap tidak ambil tahu orang ramai terhadap kos pengurusan jenazah membuka ruang seluas-luasnya kepada berleluasanya aktiviti ‘ulat jenazah’ di negara ini.

Dakwaan ini berasas berdasarkan hasil penyamaran wartawan TV9 yang tidak menolak kemungkinan kumpulan itu mempunyai rangkaian yang licik.

Apakan tidak, nombor telefon yang digunakan wartawan untuk mengorek modus operandi mereka turut dikongsi dengan ulat jenazah lain yang mencuba nasib menawarkan perkhidmatan sama.

“Haa…bincang dulu kalau sudah setuju beritahu sayalah…lebih kurang RM2,300 macam itulah,” kata seorang ulat jenazah yang menghubungi wartawan bagi menawarkan khidmatnya selepas meminta masa untuk berbincang dengan ‘ahli keluarga’ lain.

Timbalan Pengarah Klinik Perubatan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Dr Mohmmad Salleh Yahya berkata, pihaknya memberi amaran kepada setiap kakitangan PPUM supaya tidak menjadi orang tengah dalam menyalurkan maklumat si mati atau tindakan tegas akan dikenakan.

“Dia (‘ulat jenazah’) bukan sahaja di bilik mayat, mereka juga menghubungi pemandu ambulans kita itu sendiri jika ada kematian di mana mereka dibayar kira-kira RM200 seorang yang menimbulkan kesukaran kepada kita untuk menjejak.

“Tetapi, apabila aduan dibuat, kita akan jejak dan mengingatkan semua kakitangan secara proaktif mereka tidak boleh membuat sebarang ‘connection’ dengan orang yang tiada kaitan dengan urusan kematian,” katanya.

Menurutnya, PPUM antara hospital yang agresif mengekang kegiatan golongan ulat jenazah dengan mengambil pendekatan sejak 2015 semua urusan jenazah bagi umat Islam di hospital terbabit diselenggara sendiri Jabatan Hal Ehwal Islam PPUM yang terdiri daripada kakitangan terlatih.

“Kadar caj mandi dan kafan jenazah dewasa di PPUM pada waktu pejabat ialah RM500, manakala caj di luar waktu pejabat pula RM650.

“Dengan kos penghantaran yang dikendalikan sendiri hospital ini di sekitar Lembah Klang bermula RM30,” katanya.

Sementara itu, tinjauan TV9 mendapati rata-rata orang ramai tidak mengetahui kadar sebenar caj pengurusan jenazah dan keadaan itu membuka ruang kepada ‘ulat jenazah’ mengaut keuntungan berlipat kali ganda di atas kesedihan dan kesempitan dialami waris.

Sementara itu, Pakar Perunding Kanan Psikiatri Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr Muhsin Ahmad Zahari berkata, taktik ‘ulat jenazah’ yang mendatangi waris ketika sedang bersedih di bilik mayat dianggap mengambil kesempatan dalam kesempitan.

“Masyarakat kita memang mudah terpedaya dengan termakan pujukan ‘ulat jenazah’ seperti ini terutama apabila mereka dikaitkan atau menggunakan alasan agama untuk menarik perhatian bagi menggunakan perkhidmatan mereka.

“Walaupun mungkin tiada dalil khusus tetapi ‘ulat jenazah’ ini menggunakan alasan agama yang belum tentu benarnya ditambah pula dengan penampilan mereka berpakaian seperti orang alim.

“Masyarakat kita lebih mudah percaya dan yakin dengan alasan berbentuk keagamaan.

“Ini seperti kifarah kepada si mati dan alasan lain yang digunakan untuk menebus dosa orang tersayang dan mereka membuat keputusan dalam keadaan tertekan kerana percaya dan terpedaya dengan alasan ini walaupun tanpa dalil,” katanya.

Menurutnya, keputusan menguruskan keluarga yang meninggal dunia perlu dibincang bersama keluarga terdekat tanpa tindakan terburu-buru dengan menerima tawaran bantuan lain yang datang.

“Ini bagi mengelakkan keputusan salah dibuat ketika emosi dalam keadaan tidak stabil,” katanya.

Sumber: HM

Share.

Leave A Reply