Jangan Politikkan Kempen Bendera Putih Inisiatif Rakyat | Kempen kibar bendera putih yang dilaksanakan merupakan inisiatif rakyat bagi membantu golongan yang memerlukan. Oleh itu Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) menggesa agar semua pihak menghormati inisiatif yang dilaksanakan rakyat.
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, kempen kibar bendera putih berkenaan seharusnya tidak dipolitikkan dengan membawa persepsi buruk bahawa kerajaan gagal kerana tidak mempedulikan nasib rakyat.
Semua pihak seharusnya menyokong kempen yang dilancarkan itu dengan mengenalpasti golongan masyarakat yang terjejas terus disebabkan oleh pandemik covid-19. Kempen ini merupakan inisiatif rakyat sendiri untuk membantu rakyat, namun terdapat segelintir pihak tidak bertanggungjawab cuba untuk mempolitikkannya.
Mereka merasakan seolah-olah kempen yang dilancarkan oleh rakyat ini menunjukkan kegagalan kerajaan pada hari ini. Sewajarnya semua pihak menghormati apa yang cuba diusahakan oleh rakyat untuk membantu dalam kalangan masyarakat dan bukan hanya sekadar menjadikannya sebagai senjata politik semata-mata.
Muhammad Faisal berkata, sekiranya tindakan tersebut tidak ditangani segera, ia dikhuatiri akan menjejaskan matlamat asal kempen kibar bendera putih. Kempen ini sepatutnya menyedarkan pihak politik bahawa rakyat sekarang dalam situasi genting. Jadi, mereka harus didekati dan perlu dilihat secara bersemuka.
Pada masa yang sama, Naib Presiden Malaysia Hindu Dharma Maamandram, Vesuanathan Suppiah meluahkan raya kesal dengan pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan kempen kibar bendera putih yang dilaksanakan ketika ini.
Menurutnya, inisiatif ini haruslah diterima sebagai satu perkara yang positif. Walaupun cadangan ini datang daripada rakyat ataupun sebaliknya, itu tak kisah, yang penting ialah hidup rakyat terjamin.
Tambhanya lagi, walaupun ada pihak yang mendakwa ia boleh menjejaskan imej negara seperti mengalah, tetapi kita tiada pilihan lain untuk bantu keluarga yang susah. Justeru, kita perlu ketepikan hal politik buat sementara waktu.
Sumber: Sinar Harian