Jangan Tulis Nama Superman Batman Dan Badang. Ini Teguran Menteri Kanan (Keselamatan).

| May 17, 2020 | 0 Comments

Jangan Tulis Nama Superman Batman Dan Badang. Ini Teguran Menteri Kanan (Keselamatan).| Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendedahkan terdapat pengunjung premis tidak menulis nama dan nombor telefon sebenar sebelum memasuki sesebuah premis.

Menurutnya, mereka menulis pelbagai nama bahkan ada yang meletakkan nama Badang, Superman dan Batman.

Tegas Ismail Sabri, tindakan itu bakal mendatangkan kesukaran kepada pemilik premis untuk menghubungi pelanggan sekiranya kes positif COVID-19 dikesan di premis tersebut.

“Kita dah putuskan bahawa hanya perlu nama dan nombor telefon kerana tujuan jika berlaku apa-apa, katakan ada positif COVID-19, kita boleh hubungi mereka yang meninggalkan nombor telefon dan yang datang ke premis tersebut.

“Tapi saya difahamkan ramai orang tak beri nama yang betul, tak beri nombor telefon betul. Dia tulis sendiri, ada tulis nama dia badang, superman, batman, macam-macam. Jadi kalau jadi apa-apa, tak boleh nak hubungi dia.

“Sebab itu ada sesetengah premis mungkin meminta nama kad pengenalan supaya nama sebenar boleh diketahui. Jadi saya harap pengunjung premis perniagaan tulis nama dan nombor telefon sebenar,” katanya dalam sidang media di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, Ismail Sabri menzahirkan perasaan lega dengan jawapan 74 peratus daripada 215,712 responden dalam kajian dilakukan Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam.

Jelasnya, terdapat tiga soalan ditanya kepada responden dan kebanyakannya menegaskan mereka hanya akan menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga di dalam rumah masing-masing dan tidak membenarkan orang luar beraya bersama.

“Kalau inilah trendnya, maka saya tak rasa bimbang sangat lah kerana 74 peratus tak mahu buka kepada orang luar, hanya keluarga di dalam rumah sahaja. Itulah harapan dari kerajaan walaupun kita beri kebenaran 20 orang pada hari raya pertama tersebut.

“Tapi kalau 74 peratus responden daripada responden ini menyatakan mereka tak benarkan orang lain datang beraya kecuali keluarga dalam rumah mereka sahaja, kalau semua buat macam ini, tak timbul kebimbangan kita takut akan merebaknya jangkitan COVID9 dan akan berlaku pertambahan kes positif sempena Hari Raya nanti,” katanya.

Sumber : Astro Awani

Tags: , , , , , , ,

Category: INFORMASI, KELUARGA, KESIHATAN, SEMASA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *