Jatuh Dalam Perigi, Warga Emas Ditemui Meninggal Dunia | Kejadian itu disedari anak wanita itu pada pukul 7 pagi ketika mangsa tiada di dalam biliknya sebelum mendapati dia sudah berada di dalam perigi. Baca selanjutnya..

MAUT DALAM PERIGI

Bachok – Seorang wanita warga emas disahkan meninggal dunia selepas dia terjatuh ke dalam perigi di dalam bilik air rumahnya di Kampung Bekelam di sini hari ini.

Mangsa, Gan Lang Eng, 68, yang sudah berada dalam keadaan tidak sedarkan diri ketika diselamatkan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Bachok kira-kira pukul 8.26 pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Penolong Penguasa Bomba Yus Heary Mahmud berkata, bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai kesihatan yang turut berada di lokasi kejadian.

“Bomba mengambil masa selama hampir satu jam untuk membawa naik mangsa yang jatuh ke dalam perigi sedalam lima meter itu.

“Operasi menggunakan sistem takal tali menyelamat digunakan untuk mengeluarkan mangsa dari dalam telaga seluas kira-kira satu meter itu” katanya ketika dihubungi hari ini.

Yus Heary berkata, mangsa berjaya dikeluarkan pada pukul 9.55 pagi dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Bachok, Asisten Superintendan Mohd. Yusrizal Mohd. Ghazali ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

“Sisatan awal mendapati mangsa mempunyai masalah kesihatan dan sering berhalusinasi.

“Kejadian itu disedari anak wanita itu pada pukul 7 pagi ketika mangsa tiada di dalam biliknya sebelum mendapati dia sudah berada di dalam perigi,” katanya.

Mohd. Yusrizal berkata, hasil pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan kes itu.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sumber : Kosmo

Share.

Leave A Reply