Ibu kandung dan bapa tiri seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang maut akibat didera, ditahan polis di rumah mereka di Kubang Pasu, baru-baru ini.

Jitra: Kejam! Kanak-kanak Maut Akibat Didera Sehingga Usus Pecah

Ketua Polis Kedah, Komisioner, Wan Hassan Wan Ahmad, berkata polis menerima maklumat dari Hospital Jitra (HJ) berkaitan kematian kanak-kanak perempuan terbabit pada jam 7.30 petang, khamis lalu .

Beliau berkata, berikutan itu pihaknya menahan ibu kanak-kanak itu yang berusia 26 tahun serta bapa tirinya berusia 22 tahun untuk membantu siasatan.

Ujar beliau, pada mulanya kita siasat mengikut Seksyen 31(1) Akta kanak-kanak 2001, namun tengahari tadi kita menerima laporan bedah siasat terhadap jasad kanak-kanak itu.

Jelasnya, hasil laporan doktor mendapati, usus kanak-kanak itu pecah dan jika dilihat pada badannya mempunyai kesan pukulan serta kecederaan di belakang dan hadapan.

Wan Hassan berkata, berikutan itu ibu kandung dan bapa tiri kanak-kanak itu ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini untuk membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, mereka ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu untuk siasatan lanjut.

Ujarnya lagi, wanita itu tidak bekerja, manakala suaminya bekerja sebagai peniaga air dan pasangan ini dipercayai baru berkahwin antara tiga hingga empat bulan lalu.

Menurutnya, wanita ini mempunyai dua lagi anak berusia empat dan enam tahun. Mangsa dipercayai anak bongsunya.

Wan Hassan mengatakan, jika dilihat pada badan mangsa, memang terdapat elemen penderaan yang boleh mengakibatkan kematian.

Beliau mendakwa, pihaknya percaya terdapat unsur tekanan pada badan mangsa dan doktor memaklumkan usus kanak-kanak itu pecah berkemungkinan akibat dipijak atau sebagainya.

Tambahnya, kedua-dua suspek membuat pengakuan pernah memukul kanak-kanak itu tetapi tahap mana pukulan yang dilakukan belum dapat dipastikan lagi kerana kanak-kanak itu masih kecil yang boleh menyebabkan kematian.

Hasil ujian saringan air kencing terhadap pasangan itu telah dijalankan menurut beliau namun mendapati kedua-duanya negatif.

Wan Hassan berkata, hasil siasatan mendapati, suspek wanita mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah, manakala lelaki itu tiada rekod sebelum ini.

Sumber: Berita Harian

Share.

Leave A Reply