Jual Buah Pinggang, Broker Diburu Polis

| August 9, 2020 | 0 Comments

Jual Buah Pinggang, Broker Diburu Polis | Polis Sarawak sedang mengenalpasti seorang lelaki dipercayai broker yang menawarkan penjualan buah pinggang secara haram dengan harga lebih RM400,000 untuk warga Britain.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata, pihaknya sedang membuat siasatan dan mengesan individu dimaksudkan.

“Pihak JSJ (Jabatan Siasatan Jenayah) sedang membuat siasatan dan sedang mengenalpasti orang yang dimaksudkan.

“Laporan polis dibuat pegawai JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak supaya siasatan lanjut dapat dijalankan,” katanya kepada Harian Metro.

Wartawan The Sun berpangkalan di United Kingdom membuat pendedahan dan penyamaran dengan berjumpa suspek berusia 46 tahun di sebuah hotel di Kuching, Sarawak.

Melalui penyamaran itu mendedahkan bapa empat anak itu dikenali Shaifullizan Abdul Mutalib menawarkan penjualan buah pinggang dengan pakej pelancongan transplan berjumlah £85,000 (RM466,440) secara haram khas untuk warga Britain.

Berdasarkan laporan itu, Shaifullizan dikatakan dalang penjualan 45 buah pinggang haram hanya menggunakan Facebook untuk memikat mangsa yang miskin dari seluruh dunia untuk menjual organ mereka kepada pesakit yang terdesak.

Bayarannya termasuk rasuah secara ‘bawah meja’ supaya pembedahan transplan boleh dilakukan di sebuah klinik di Manila, Filipina.

Imej Shaifullizan berjaya dirakam menggunakan kamera tersembunyi dan jelas dalam video dirakam lelaki itu berkata ‘Di Manila, wang tunai adalah raja’.

Suspek juga mengesahkan hubungan antara perdagangan organ antarabangsa dengan mengambil organ dari minoriti Muslim Uighur yang tertindas di China.

Lelaki warga negara Malaysia itu yang tidak mempunyai pengalaman perubatan mengatakan dia mempunyai lebih dari 100 penjual buah pinggang berpotensi di seluruh dunia dalam rekod bukunya yang diperoleh melalui laman Facebook.

Dakwanya, dia sudah dihubungi sekurang-kurangnya lima warga Britain yang menawarkan untuk menjual organ mereka melalui Facebook.

“Mereka semua serius, tidak ada yang ingin menjual buah pinggang mereka jika tidak ada masalah kewangan,” kata suspek dalam video rakaman itu.

Sumber : HMetro

Tags: , , ,

Category: JENAYAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *