Jual Sijil Vaksin Palsu, Ini Tindakan Dari Polis Kedah | Susulan beberapa kelonggaran diberikan oleh kerajaan kepada individu lengkap 2 dos vaksin, Ada yang mengambil kesempatan dengan menawarkan sijil digital vaksin palsu. Baca selanjutnya..

Alor Setar – Polis Kedah menerima satu laporan polis mengenai penularan isu penjualan sijil digital vaksin palsu di media sosial pada semalam.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, laporan polis tersebut diterima pada pukul 9.44 malam.

Katanya, susulan itu, satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 22(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Siasatan juga dilakukan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara sehingga tujuh tahun atau kedua-duanya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, setakat ini tiada laporan polis yang diterima berkaitan pemilikan atau penjualan sijil digital vaksin palsu.

“Kita ingin menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati serta tidak mudah terpengaruh untuk memiliki sijil tersebut,” ujarnya.

Beliau pada masa sama menyeru kepada sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kes itu untuk tampil menyalurkan sebarang maklumat di talian 04-7741275 atau MERS 999 atau Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintendan Noorulazanni Muhammad Noor di talian 011-10318409.

Sumber : Kosmo

Share.

Leave A Reply