Jurujual Maut Motosikal Bertembung Kenderaan Pacuan Empat Roda

| June 1, 2020 | 0 Comments

Jurujual Maut Motosikal Bertembung Kenderaan Pacuan Empat Roda | PENDANG: Seorang jurujual restoran makanan segera maut selepas motosikal ditungganginya bertembung kenderaan pacuan empat roda (4WD) di Jalan Bukit Raya di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 11.45 malam itu, mangsa, Mohd Firus Awang, 33, yang menetap di Jalan Bukit Jenun, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Difahamkan, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari tempat kerja di Alor Setar.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah, berkata siasatan awal mendapati kenderaan 4WD dipandu lelaki berusia 52 tahun bersama anak lelakinya berusia 16 tahun.

Katanya, mereka yang menetap di Felda Sungai Tiang itu dikatakan dalam perjalanan ke Pasar Borong di Alor Setar.

“Sewaktu tiba di lokasi kejadian, penunggang motosikal dari arah bertentangan masuk ke laluan kenderaan 4WD menyebabkan pemandu kenderaan itu gagal mengelak dan membrek berikutan jarak terlalu dekat.

“Akibatnya, motosikal mangsa merempuh bahagian depan kenderaan 4WD menyebabkan mangsa jatuh dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Arriz Sham berkata, pemandu kenderaan 4WD dan anaknya tidak mengalami kecederaan.

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar bagi dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber : BH

Tags: , , , ,

Category: KEMALANGAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *