Seorang jurujual tudung didakwa atas 166 pertuduhan menipu kekasih dalam talian membabitkan kerugian wang tunai keseluruhan berjumlah RM483,570 di Mahkamah Sesyen di sini, pada Khamis.

Jurujual Tudung Berhadapan 166 Pertuduhan Didakwa Tipu Kekasih RM483,570

Tertuduh, Natasha Adini Abdullah, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Mengikut pertuduhan pertama sehingga ke-166, tertuduh didakwa menipu peniaga barangan basah dalam talian berusia 32 tahun melalui pinjam wang dengan cara menyamar sebagai Nur Farah Alisya.

Perbuatan itu mendorong lelaki terbabit membuat transaksi pindahan wang secara berperingkat sebanyak 166 kali membabitkan wang tunai keseluruhan berjumlah RM483,570.

Kesalahan dilakukan di mesin transaksi automatik (ATM) sebuah bank di sini antara 3 Julai 2018 sehingga 6 Ogos 2020.

Pendakwaan terhadap tertuduh dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun hingga maksimum 10 tahun, sebat dan boleh didenda jika sabit kesalahan.

Prosiding membaca kesemua 166 pertuduhan itu memakan masa dua jam bermula jam 11.15 pagi.

Tertuduh turut dilihat menangis selepas selesai kesemua tuduhan dibacakan terhadapnya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Abu Arsalnaa mencadangkan jaminan sebanyak RM285,000 untuk kesemua pertuduhan yang dihadapi wanita itu.

Bagaimanapun tertuduh dalam rayuannya memohon jaminan itu dikurangkan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM28,700 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berdekatan, selain tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Kes ditetapkan 23 Oktober depan untuk sebutan semula kes bagi pelantikan peguam dan serahan dokumen.

Tertuduh tidak membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah.

Sumber: Sinar Harian

Share.

Leave A Reply