Jurulatih Futsal Ditahan Atas Tuduhan Cabul Remaja Perempuan | Seorang lelaki dipercayai sebagai jurulatih futsal telah ditahan bagi membantu siasatan selepas dia dilaporkan telah mencabul seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di dalam sebuah kereta di Puchong, di sini, pada 3 Mac yang lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman memberitahu bahawa pihak polis kini telah merampas kereta jenis Perodua Aruz dipercayai milik suspek yang berusia 33 tahun bagi membantu siasatan. Tambahnya lagi, suspek telah ditahan di rumahnya pada jam 9:30 malam, baru-baru ini.
Kejadian dikatakan telah berlaku pada jam 10 malam selepas mangsa mengikuti suspek untuk membeli ubat-ubatan di farmasi yang berdekatan dengan sebuah stesen minyak di Puchong setelah selesai menjalani latihan futsal.
Ketika kereta tersebut diparkir di hadapan farmasi, suspek ketika itu telah meminta bantuan mangsa untukĀ menolong mengurut bahunya yang tiba-tiba sakit kerana bermain futsal tadi. Namun ketika mangsa yang sedang menuruti permintaan suspek tanpa ragu, secara tidak semena-mena suspek telah bertindak meletakkan tangannya ke atas riba mangsa sebelum menyeluk seluar mangsa.
Mangsa yang terkejut dengan tindakan suspek bertindak menolak dan menepis tangan suspek berulang-ulang kali sebelum suspek menyatakan bahawa ia hanya sekejap sahaja dan cuma mereka berdua yang mengetahui apa yang berlaku.
Suspek juga dikatakan meminta mangsa untuk tidak memberitahu sesiapa mengenai hal yang berlaku namun mangsa dikatakan hanya mendiamkan diri kerana trauma dengan hal yang baru berlaku. Namun, kejadian tersebut yang turut diketahui abangnya telah dinasihatkan supaya mangsa membuat laporan di balai polis berkenaan insiden tersebut.
Suspek kini dilaporkan telah direman selama empat hari iaitu bermula pada hari Ahad sehingga Rabu bagi membantu siasatan iaitu mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Sumber: Sinar Harian