Juruteknik Maut Dalam Nahas Babitkan Lima Buah Kenderaan

| July 14, 2021 | 0 Comments

Juruteknik Maut Dalam Nahas Babitkan Lima Buah Kenderaan | Kes kemalangan saban hari semakin meningkat. Hal ini menimbulkan kebimbangan berikutan banyak dari kes kemalangan yang meragut nyawa. Perkara ini secara tidak langsung menambah jumlah kematian di negara ini.

Juruteknik Maut Dalam Nahas Babitkan Lima Biji Kenderaan

Dungun: Seorang juruteknik maut selepas kereta Proton Wira yang dipandunya terbabit dalam satu kemalangan di Kilometer 90, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, depan loji memproses air di Kampung Air Hitam Bukit Bauk, pagi tadi.

Dalam kejadian pada jam 7.15 itu, mangsa Muhammad Firdaus Ali, 22, mati di lokasi kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala dan badan.

Kemalangan itu juga membabitkan sebuah lagi kereta Proton Pesona, lori dan dua buah motosikal.

Muhammad Firdaus yang berasal dari Bukit Payung, Marang dikatakan bertugas sebagai juruteknik sebuah syarikat perindustrian dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Teluk Kalong, Kemaman.

Kejadian itu dipercayai berlaku, apabila Proton Wira yang dipandu mangsa dipercayai terbabas ke laluan kanan di lokasi kejadian.

Ekoran itu, kereta dipandu mangsa dikatakan bertembung sebuah lori tiga tan yang dipandu lelaki berusia 41 bersama kelindannya berusia 25 tahun.

Kemalangan itu juga menyebabkan sebuah Proton Pesona dan dua buah motosikal gagal mengelak dan turut terbabit dalam kemalangan itu.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung dengan kejadian itu.

Katanya, anggota bomba dari Balali Bomba dan Penyelamat Dungun dan Paka terpaksa dipanggil untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Jelasnya, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut sementara kesemua mangsa yang cedera dihantar ke hospital yang sama untuk menerima rawatan.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: Berita Harian

Tags: , , , , ,

Category: KEMALANGAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *